Pada hari Isnin lalu, salah seorang anggota Bocey yang turut dianggotai Achey iaitu Abam telah pergi mengadap Illahi di kediamannya di Gombak dipercayai akibat demam panas. Bagai memahami situasi yang dihadapi, Achey menyatakan rasa terima kasih buat suri hatinya itu yang dilihat memberi ruang untuk dirinya atas pemergian seorang yang bergelar sahabat.
“Tq isteri ku… tugasmu agak berat dalam minggu ini jaga anak,drive, dan persiapan semua diselesaikan dengan baik hanya untuk beri ruang aku melepiaskan rindu dan sedih sepuasnya pada sahabat buat seketika.
“Inshallah kembali dengan perjuangan yang baru #kitabaikramaisayang #bocey,”
– Achey
Menerusi entri yang dikongsi itu menunjukkan isterinya itu sedang memangku anak mereka, Tiara Zinnirah di pusara Allahyarham Abam.
Sementara menerusi entri terkininya pula, Achey turut memohon ramai agar menitipkan doa buat arwah.
Terdahulu, Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 32, meninggalkan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah yang kini berusia lapan bulan.
Ia merupakan cahaya mata sulung hasil perkahwinannya bersama Siti Norhidayah pada Disember 2017, al-Fatihah.
Foto: Instagram Achey