in ,

Achey Bersyukur Ibu Makin Kuat, Stabil

“Untuk hari ini, Alhamdulillah keadaan emak semakin stabil kerana mengikut kata doktor dan jururawat di hospital memaklumkan emak sangat kuat semangat untuk melawan virus itu. 

“Emak sudah sedar dan tiup saluran kencing yang dipakai sebelum ini pun sudah ditanggalkan. Malah, bantuan oksigen emak pun tidak terlalu tinggi lagi dan dia juga sudah boleh tidur mengikut keselesaan selain meniarap seperti disarankan doktor. 

“Alhamdulillah, emak juga senang diuruskan kerana dia sangat berdisiplin dan mengikut apa saja cakap doktor dan jururawat. Harapan saya, semoga emak cepat sembuh dan kembali sihat,” kata pelawak dan penyanyi, Achey yang bersyukur keadaan kesihatan ibunya, Ngaisah Hassan, 73, yang positif Covid-19 kini semakin stabil walaupun ada jangkitan kuman dalam darah. 

Achey atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Hamzah dihubungi berkata, meskipun laporan kesihatan yang diterima mengenai ibunya berubah-ubah setiap hari, namun dia berlapang dada dengan perkembangan positif yang ditunjukkan. 

Menurut Achey, dia juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada orang ramai yang bersama-sama mendoakan kesihatan ibunya untuk pulih dan terus kuat melawan jangkitan Covid-19 itu. 

“Terima kasih atas doa-doa ikhlas kalian semua terhadap emak serta ahli keluarga saya yang lain untuk mereka kuat melawan jangkitan pandemik ini. Pada masa sekarang, keadaan kesihatan emak saya bertambah stabil. 

“Namun, untuk hari-hari seterusnya saya tidak pasti lagi tahap kesihatannya bagaimana pula. Apapun, saya mohon teruskan doa kalian untuk kesembuhan emak saya termasuk semua pesakit Covid-19 yang kini bertarung di hospital,” katanya. 

Jelas Achey, segala perkembangan kesihatan ibunya di hospital diketahui melalui kakak, Nur Dewiyani serta kakak ipar yang bertugas sebagai jururawat. Achey berkata, ibunya lebih selesa berbicara dengan kakak saja kerana sudah biasa menjaganya di rumah. 

Terdahulu, ibu Achey disahkan positif Covid-19 sejak seminggu lalu. Bagaimanapun, atas faktor usia serta turut menghidap masalah pada pankreas, ibunya masih dirawat di Hospital Segamat, Johor. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Suami Nia Ramadhani Cedera Ketika Cuba Lari Dari Pusat Pemulihan – Ini Jawab Peguam

“Allah Sedang Mengangkat Darjat Beliau, Teruskan Sabar PM Ku!” – Johan As’ari