in , ,

Abubakarxli Bergabung dengan Shalma Eliana dalam Single NAIK

Bakat berjiwa besar naungan Def Jam Malaysia bernama Abubakarxli ini bukan nama asing di kalangan rapper atau dunia muzik hip hop.

Mula berkongsi bakat di zaman ‘underground’ sejak tahun 2013, pemilik nama penuh Mohamad Faiz Mohamad Yusuf ini antara pelopor terkini yang memperjuangkan genre muzik sinonim dengan kebanyakan rapper di luar negara.

Pernah menghasilkan beberapa buah single sebelum ini selain album EP, EXACXLI, jejaka berusia 25 tahun dari Ipoh, Perak kali ini mempertaruhkan lagu berjudul NAIK. Tidak bersendirian, lagu ciptaannya bersama Shazee Ishak dan Tilla Hanna itu turut menampilkan penampilan istimewa ‘sekuntum bunga’ bernama Shalma Eliana.

Abubakarxli
Abubakarxli

Lagu bergenre adunan hip hop dan pop itu mengangkat perkataaan NAIK sebagai satu ruang semangat meneruskan perjuangan hidup.

“Lagu itu umpama motivasi dan penyuntik semangat untuk saya dan mereka yang menikmatinya. NAIK itu seperti kita berusaha terus tanpa mengalah dan endahkan bualan orang yang skeptikal mahupun meraguinya. NAIK itu juga umpama satu kata ganti kepada maju ke depan. Orang bilang kata kata itu doa. Semua yang hidup nak maju dan berjaya. Pilihan kita untuk jadi lebih baik ialah kuat.”

“Benar kejayaan itu tak datang sekelip mata. Pasti ada laluan berliku yang datang silih berganti. Saya harap lagu ini dapat dijadikan pembakar semangat semua yang hampir rasa mengalah,” katanya.

Kata penyanyi yang popular dengan lagu NiNiNi itu lagi, karya terbaru berkenaan juga cukup dekat dengannya.

“Sebagai penyanyi, saya cuba sebaik mungkin untuk bawa muzik yang boleh kita ‘relate’. Tambahan dengan situasi getir pandemik COVID-19 dan isu semasa lain, saya harap lagu ini dapat menyuarakan isi hati kita. Satu cabaran juga menulis lagu ini pada awalnya kerana ia lebih sarat dengan mesej berguna. Saya ambil masa dua minggu juga untuk memikirkan rangka dan bait lirik. Namun apabila sudah datang semangat, semua proses jadi mudah.”

“Menerusi lagu ini juga saya buat kali pertama bekerjasama dengan Shazee dan juga Altimet untuk proses penerbitan. Malah kami masing masing terbuka berkongsi ilmu dan pendapat,” katanya.

Ditanya mengenai Shalma, Abubakarxli melihat penyanyi dan pelakon berkenaan sebagai pilihan tepat.

Shalma Eliana
Shalma Eliana

“Tona suaranya memang saya mahukan dalam bayangan penyanyi wanita yang dicari. Malah saya tak nampak sesiapa lagi selain dia. Kami pantas mencipta keserasian. Ia secara tak langsung memudahkan proses rakaman selain jadi lebih organik,” katanya.

Kata Abubakarxli lagi, rakaman video muzik juga sudah siap. Manakala proses pembuatan lagu dan rakaman sekitar September tahun lalu.

“Video muzik lagu ini antara yang paling cepat disiapkan dan ia dibuat di dalam studio. Kami lakukannya pada 31 Mac lalu dengan menggunakan konsep latar skrin hijau dan diarahkan Thaqif Saadon. Dia boleh saya sifatkan sebagai pengarah yang genius dan tahu apa yang dimahukan,” katanya yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan beberapa artis tanah air.

Sementara itu, Shalma pula secara peribadi menganggap NAIK sebagai sebuah lagu ‘catchy’.

“Sekali dengar terus rasa ‘vibes’. Ia lagu yang berbeza pernah saya nyanyikan sebelum ini. Lagu ini ada macam magnet kuat yang buat saya sendiri terpegun. Liriknya juga sangat bermakna dan boleh dikaitkan dengan saya untuk terus melangkah dan terbang tinggi walau apa jua cabaran mendatang,” katanya.

Kata Shalma lagi, sebelum Abubakarxli, dia pernah bekerjasama dengan penyanyi Farriz Jabba.

“Jadi ini kerjasama sulung saya dengan Abubakarxli. Sebelum ini pernah terbabit dengan penyanyi lain seperti Yonnyboii untuk projek kempen dan juga artis luar negara. Jujur saya senang bersatu dengan Abubakarxli dalam lagu ini. Dia jenis sempoi. Kami pun berkawan, jadi keserasian itu cepat wujud. Dia pun jenis membakar semangat kalau saya ‘lost’,” katanya.

Lagu NAIK kini sudahpun tersedia di kesemua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, KKBOX, Deezer dan YouTube Music manakala video muziknya boleh ditonton di saluran YouTube Abubakarxli pada hari yang sama mulai jam 9 MALAM.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Single Ke-4 ‘RAMBANG’ Serlahkan Versatiliti Shalma Eliana

Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) Melantik Ahli Majlis Baru Untuk Penggal 2021-2023