KUALA LUMPUR: Pelakon wanita popular, Abby Abadi, hari ini memfailkan buat kali kedua tuntutan perceraian ke atas suaminya, Norman Hakim, di Mahkamah Syariah Gombak Timur di sini.
Abby atau Arbaeyah Abdul Manan, 29, tidak hadir di mahkamah kerana menjalani penggambaran, memfailkan permohonan itu melalui peguamnya Ahmad Nazib Johari, mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 iaitu permohonan cerai secara baik kerana tiada persefahaman.
Pada 3 Nov lalu, Abby gagal memfailkan permohonan cerainya kerana dokumen penting tidak lengkap seperti alamat, kad pengenalan, salinan surat nikah dan rujuk ada pada Norman, 32, atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon. Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Ahmad Nazib berkata pihaknya turut menyerahkan surat saman terhadap Norman agar hadir ke mahkamah.
“Kita memohon perceraian ini mengikut Seksyen 47, jika Norman tidak bersetuju, kita akan memohon mengikut Seksyen 50 iaitu bercerai secara taklik atau menuntut fasakh mengikut Seksyen 53,” jelasnya.
Pasangan itu bernikah pada 11 Jan 2002, pernah bercerai talak satu dan rujuk kembali pada 5 Mei 2006. Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohd Danish Hakim, 5; Marisa Dania Hakim, 3; dan Maria Danisha Hakim, sebulan 18 hari.
Mahkamah menetapkan 18 Dis ini untuk sebutan semula kes itu. BERNAMA