in , ,

Abby Abadi Mengamuk

Nampaknya semakin panas kisah keretakan rumahtangga antara dua orang dramatis popular ini. Boleh dikatakan semua suratkhabar dan media begitu fokus dengan memaparkan berita Abby Abadi dan Norman Hakim. Budiey harap tragedi sebegini dijadikan iktibar untuk kita semua, bukan sebagai setakat pandai melontar komen dan menyalahkan mana-mana pihak.

Ini pula petikan Harian Metro semalam:

Isteri Norman Hakim, Abby Abadi berang apabila suaminya dikatakan cuba mempertahankan kebaikan Suhaiza Suhaimi atau Memey, 20, hingga menimbulkan suasana tegang di lokasi penggambaran drama Gerak Khas berhampiran Carrefour Wangsa Maju di sini, tengah hari semalam.

Ketika sekumpulan wartawan menemubual Norman, 32, mengenai masalah rumah tangganya di situ, Abby tiba-tiba mencelah untuk mendapatkan kepastian daripada suaminya kenapa dia masih menyebelahi Memey.

Abby atau Arbaeyah Abdul Manan, 30, nekad bertanyakan soalan itu di depan wartawan kerana dakwanya sejak kes khalwat itu pada 30 Oktober lalu, Norman langsung tidak mahu berjumpa, malah panggilan telefon pun tidak dijawab.

Pelakon terkenal itu bergegas ke lokasi drama berunsur kepolisan berkenaan bersama sekumpulan wartawan media cetak dan elektronik selepas gagal membuat permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Hulu Klang, semalam.

Dia tidak dapat berbuat demikian kerana dinasihatkan pihak mahkamah supaya mengemukakan beberapa dokumen yang didakwanya berada dalam simpanan Norman termasuk surat rujuk perceraian mereka pada Mei 2006.

Norman atau Mohamed Nurhakim Zaidon, 32, yang berada dalam jip hitam untuk menjalani penggambaran kelihatan tergamam melihat kedatangan Abby dan wartawan.

Dia yang ketika itu menyarung pakaian seragam polis berpangkat Inspektor kemudian menukar baju dengan memakai kemeja-T berwarna merah samar.

Wartawan dapat menyaksikan Abby yang menanti di tepi jip terus menghulurkan borang perceraian yang dibawa dari mahkamah.

Walaupun Norman kelihatan agak kebingungan, dia sudah mengetahui hasrat Abby yang minta ‘dilepaskan’ dengan cara baik.

Ini kerana Abby ada mengirimkan SMS kepada Norman mengenai hal itu sebelum bertolak ke mahkamah.

Norman yang seakan terkedu dan sebak dilihat berjalan ke satu sudut jauh dari wartawan sambil membawa borang perceraian ditunjukkan Abby. Beberapa minit kemudian Abby menyusul suaminya.

Pada waktu itu, wartawan memberi ruang kepada mereka untuk berbincang dan hampir 45 minit kemudian Norman kembali menemui wartawan dengan wajah muram yang berselindung di sebalik kaca mata hitam sambil Abby mengikutnya dari belakang.

Dengan linangan air mata, Norman berkata, dia boleh memberikan kerjasama terhadap tuntutan Abby, tetapi dia memerlukan kehadiran orang ketiga iaitu Memey.

Dalam keadaan sekarang, katanya, dia perlu menjaga hati ramai pihak, termasuk orang tua Memey selain Abby masih isterinya.

“Memey itu naif kerana dia masih baru dalam bidang ini (seni)…jadi saya perlu bantu dia. Saya juga tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan kerana dia ada emak bapa,” katanya.

Kenyataan Norman itu benar-benar mencetuskan kemarahan Abby lalu berkata: “Habis, saya siapa nak bantu. Kenapa abang asyik mempertahankan Memey. Jika bercerita pasal Memey abang bukan main lagi beritahu orang yang Memey tidak pandai itu dan ini.

“Jika abang mahu menjaga hati orang tua Memey, habis saya ini tak ada emak bapa. Saya ini masih isteri abang.

“Apa lebihnya dia daripada saya. Buruk sangat ke saya ini. Ceraikan saya sekarang juga,” katanya terkilan dengan sikap Norman.

Mengelakkan keadaan lebih buruk, beberapa wartawan wanita yang menjadi saksi kejadian itu cuba mententeramkannya.

Apatah lagi, penggambaran drama itu dilakukan di tepi jalan raya yang menjadi perhatian orang lalu-lalang.

Norman yang dalam keadaan sugul memandang wajah isterinya. Kelihatan seperti dia mahu memperkatakan sesuatu kepada Abby tetapi terhenti begitu saja.

“Saya tidak akan keluarkan apa-apa kenyataan,” kata Norman.

Wartawan cuba meredakan keadaan dengan meminta Abby bertenang.

Akhirnya Abby beredar menuju ke keretanya yang terletak di seberang jalan.

Selepas hampir dua jam tergendala, penggambaran drama itu terpaksa dihentikan walaupun menurut pengarahnya, Majid Salleh, ia sepatutnya berlanjutan sehingga ke malam.

Penerbit Skop Productions, Datuk Yusof Haslam juga muncul di lokasi selepas dihubungi kru drama itu mengenai keadaan berkenaan.

Hasil perkongsian hidup mereka, Abby dan Norman dikurniakan tiga anak, Mohamed Danish Hakim, 5, Marissa Dania Hakim, 3 dan Maria Danisha Hakim, lebih sebulan.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Rosyam Nor dan Isteri

ESTANI, BERGERAK SEIRING TEKNOLOGI DI KLASIK NASIONAL