Terdahulu, beliau telah berkongsi satu berita tular mengenai seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang didakwa sebagai Zulaikha. Dalam berita tular tersebut, kanak-kanak berkenaan dikatakan memerlukan bantuan kewangan untuk membeli mesin oksigen.
Bagaimanapun hasil pencarian di Internet mendapati gambar kanak-kanak yang dimuat naik itu adalah Derek Cantor dan kanak-kanak terbabit sudah pun meninggal dunia dua tahun lepas.
Menurut Aaron, beliau mengambil berita tersebut daripada perkongsian Persatuan Kebajikan Kanser Bersatu Malaysia sebelum memuat naik di akaun media sosial miliknya.
Beliau juga memaklumkan sudah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut dan meminta orang ramai untuk berbuat demikian.
”Ketika ini, scammer menyasarkan jumlah kutipan kecil-kecilan, tetapi kalau jumlah-jumlah kecil ini didarabkan dengan 50 ribu, 100 ribu orang, banyak juga.
”Jadi anda perlu membuat laporan sekiranya sudah menghulurkan derma, barulah polis boleh tengok dalam akaun bank tu berapa banyak duit scammer ataupun duit palsu.
”Kalau setakat saya seorang sahaja membuat laporan. Contohnya kalau saya ada RM 100 dan dia ada RM 1 juta dalam akaun bank, yang dinilai haram hanya RM 100,”
– Aaron Aziz
Justeru, Aaron menggesa orang ramai yang sudahpun menghulurkan derma supaya turut membuat laporan dan serahkan bukti derma itu kepada polis untuk diambil tindakan.
Seorang lagi selebriti yang turut berkongsi berita tersebut, Shuib Sepahtu turut memuat naik kenyataan permohonan maaf melalui facebooknya.
Katanya, dia menyedari perkongsian tersebut adalah palsu setelah dimaklumkan peminat dan ibunya sendiri. Shuib memberitahu niat awalnya memuat naik kenyataan tersebut adalah atas dasar kemanusian dan mahukan orang ramai memberi bantuan kepada kanak-kanak tersebut.
Dalam pada itu, pentadbir akaun Persatuan Kebajikan Kanser Bersatu Malaysia turut membuat laporan polis kerana mendakwa ditipu oleh scammer berkenaan.