Baru menginjak ke usia 2 tahun pada 2020, kanak-kanak berkenaan sudah sangat mahir berkata-kata terutamanya saat menghabiskan masa dengan ibu tercinta. Ia juga dibuktikan menerusi sebuah rakaman yang dikongsikan kembali oleh akaun @ctsharina ini. Namun apa yang dipaparkan pula cukup membuatkan barisan peminat ‘cair hati’.
Sama seperti kanak-kanak lain, Aafiyah dilihat begitu gembira saat berseronok dengan alat permainannya. Kononnya sedang membina sebuah bangunan istana, tiba-tiba permainan kayu berkenaan telah jatuh ke lantai.
Dalam tidak sedar, kedengaran nada suaranya menjadi agak kuat sebelum Tokti sempat membuat reaksi sayu. Semacam sedar ibunya sedang bersedih, dia terus berhenti bermain dan terus memujuk dengan manja.
Tidak ketinggalan, Aafiyah juga menghadiahkan satu kucupan manis kepada ibu kesayangannya.
Sejak dimuat naik beberapa hari lalu, rakaman pendek berkenaan sudah meraih lebih 100 ribu jumlah tontonan daripada netizen.
Bukan sahaja senang hati melihat ukhuwah kedua-dua anak beranak tersebut, malahan mereka memuji kecerdikan Aafiyah ketika memujuk Tokti yang sedang bersedih.