Pelakon dan penerbit drama A. Aida akan meneliti terlebih dahulu cadangan yang dihantar suaminya, Deputi Superintenden (DSP) Suffian Sulaiman sebelum kes perceraian mereka diteruskan ke mahkamah.
A.Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 42, berkata, dia menerima permohonan itu daripada Suffian pada Ahad yang menyenaraikan beberapa perkara sekiranya dia benar-benar berhasrat untuk mengakhiri rumah tangga mereka.
A. Aida ditemani peguamnya, Zulkifli Che Yong ketika hadir ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur di sini pada Isnin.
“Suffian telah mengemukakan cadangan penyelesaian semalam (Ahad) dan saya memohon kepada mahkamah agar diberikan masa untuk meneliti terlebih dahulu isi kandungan permohonan yang dibuat oleh Suffian itu,” katanya ketika ditemui mStar Online di luar mahkamah Syariah Kuala Lumpur di sini pada Isnin.
Terdahulu, Hakim Syarie Ahmad Basyir Yaakub yang mendengar permohonan A. Aida dalam kamar menetapkan 18 Oktober ini sebagai sebutan semula kes tersebut.
Dalam pada itu, peguam yang mewakili A.Aida iaitu Zulkifli Che Yong berkata, pada tarikh itu nanti pihaknya akan memohon untuk merekodkan penceraian dan penyelesaian di bawah Seksyen 47, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (Kebenaran Penceraian Secara Baik) sekiranya wujud penyelesaian secara baik di antara pihak kedua-dua belah pihak.
“Bagaimanapun anak guam saya akan memohon pembubaran perkahwinan melalui fasakh dan menarik permohonan terdahulu sekiranya Suffian tidak bersetuju dengan draf penyelesaian penceraian yang dikemukakan oleh pihak plaintif,” ujarnya.
A. Aida berkahwin dengan Suffian yang bertugas sebagai Ketua Unit Perhubungan Korporat, Jabatan Logistik, Bukit Aman Kuala Lumpur, pada 20 April 2007.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhamad Rahul yang kini berusia empat tahun.
Suffian yang merupakan sorang duda sebelum ini turut mempunyai beberapa orang anak hasil perkahwinan terdahulu.
Sebelum berkahwin dengan Suffian, A. Aida pernah bernikah dengan bekas vokalis kumpulan Spring iaitu Ameng pada tahun 1994 dan berpisah pada tahun 2003.
Hasil perkahwinan itu mereka mendapat dua orang anak iaitu Wan Az Aleesa, 16, dan Wan Azevanatassha yang berusia 11 tahun. Sumber: Mstar Online