Apa itu cultural appropriation? Cultural appropriation bermaksud tindakan mengambil atau menggunakan sesuatu dari budaya yang bukan milik kita, tanpa menunjukkan bahawa kita memahami atau menghormati budaya tersebut.
Kepada anda yang belum tahu hujung pangkal berita yang tular ini, beberapa hari lepas, Mira Filzah ada muat naik gambarnya di Instagram, menunjukkan dirinya berpakaian ala Bollywood untuk mempromosikan satu jenama produk kanta lekap.
Tanpa diduga, ada pihak tersinggung dengan cara pemakaiannya itu, kerana cultural appropriation, dan warganet itu mendakwa bahawa tujuan Mira Filzah adalah untuk meraih profit atau keuntungan.
Ciapan Twitter beliau berbunyi ‘Cultural appropriation queen must feel nice to profit off our culture’.
Ciapan tersebut meletakkan gambar yang dimuat naik Mira di IG itu mendapat pelbagai maklum balas. Ada yang bersetuju dengan ciapan itu dan begitu juga sebaliknya yang melihat penampilan Mira tidak salah.
Tweet itu telah meraih 2.1K perkongsian dan mendapat tentangan ramai netizen, jadi dia terus memberikan keterangan dalam satu thread.
Disebabkan penularan tweet tersebut jugalah ia sampai ke Mira Filzah, lalu, Mira Filzah pun tampil memberi keterangan kepada wanita tersebut.
Mira Filzah mengakui tidak berniat untuk menimbulkan sebarang isu menerusi penampilannya yang menyarung pakaian tradisional pengantin wanita masyarakat India, Lehenga.
Menurut Mira, dia begitu meminati Bollywood sejak dari kecil malah dia sangat berminat dengan busana-busana yang dipakai oleh pelakon Bollywood seperti Aishwarya Rai. Dah lama pendam hasrat untuk memakai busana ini cuma tidak ada masa dan tujuan yang sesuai untuk memakainya.
Tema itu adalah satu daripada konsep penggambaran produk kanta lekap selain ia adalah keinginan diri sendiri selaku penggemar filem dan lagu Bollywood.
“Sebenarnya, untuk penggambaran produk LA Vue Lens ini ada pelbagai konsep. Baru konsep ini yang saya muat naik di Instagram. Kebetulan saya diberi pilihan daripada pengasas produk ini, Bee Ramza untuk pilih konsep apa saya nak buat.
“Jadi, saya memilih Bollywood sebab saya memang peminat setia filem dan lagu Hindustan sejak kecil lagi. Malah, saya juga suka buat video ‘miming’ lagu Hindustan. Dalam hati teringin sangat nak pakai pakaian Bollywood. Tapi untuk apa?
“Disebabkan itu, apabila ada peluang, saya cakap pada Bee teringin nak pakai satu set Lehenga dengan aksesori. Saya tak terfikir pun perkara ini akan menimbulkan isu sebegini. Niat saya adalah untuk suka-suka dan minat saya,”
– Mira Filzah
Kata Mira, ia bukanlah bertujuan untuk mendapatkan keuntungan atau profit sepertimana yang didakwa. Mira Filzah telah memohon maaf jika perkara itu mengguris mana-mana pihak.
Warganet tersebut pun akhirnya faham setelah mendapat keterangan daripada Mira Filzah sendiri. Dalam masa yang sama, ada juga memberi sedikit teguran buat Mira Filzah.
“Saya minta maaf kalau ada terasa. Tetapi, pada pendapat saya, di Malaysia ada pelbagai bangsa dan budaya. Semua orang pun saya tengok tak ada masalah perkara ini macam bertukar-tukar pakaian.
“Saya pun ada tengok beberapa selebriti yang pakai pakaian ini untuk majlis malam berinai, saya ada juga ada nampak orang India memakai baju kurung begitu juga ada masyarakat Melayu yang memakai cheongsam.
“Sekali lagi kalau ada yang terasa saya minta maaf. Tidak ada apa-apa niat pun untuk mengaut keuntungan daripada itu dan ini dan sebagainya,”
– Netizen
Jadi, anggaplah isu ini dah selesai. Mungkin hanya berlaku sedikit salah faham sahaja. Mungkin boleh jadi panduan dan rujukan pada masa akan datang.