Pasangan SHAI Pertama Tersingkir di Penentuan Mari Menari
Pasangan suami isteri, Shairulfazli Sharif dan Rafidah Amit menjadi pasangan pertama tersingkir dalam program realiti terbaru Mari Menari. Jurugambar professional dan pakar kecantikan yang masing-masing berumur 33 tahun itu diumumkan tersingkir oleh pengacara, Awal Ashaari dalam Penentuan Sehati Berdansa yang disiarkan secara langsung di Astro Ria (saluran 104) malam tadi.
Bertemakan tarian Etnik Vaganza untuk minggu yang pertama malam Sabtu lalu, pasangan ini telah mempersembahkan tarian dengan iringan lagu Joget Senda Gurau nyanyian kumpulan Alleycats. Meskipun mendapat bimbingan dan galakkan dari penasihat Zulhuzaimy dan koreografer Syed. Pasangan ini kurang menyerlah sewaktu persembahan Mari Menari lantas belum mampu menarik minat pengundi berbanding 11 pasangan lain. Mereka berada di kedudukan terbawah apabila tempoh undian ditutup dengan 29 peratus berbanding; Razif (52 peratus), Ariz (50 peratus), Rosdi, (45 peratus), Nita (44 peratus), Zul (43 peratus), Fahmi (42 peratus), Yat (38 peratus), Masri (37 peratus), Zarin (35 peratus), Dita (35 peratus) dan Jaya (32 peratus).
Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Puan Azlin Reza Azmi berkata, “Kebolehan dan bakat seni tari yang terpendam dalam diri setiap pasangan telah teruji dengan cabaran minggu pertama. Malah dalam episod pengenalan pada minggu lepas, mereka sudah mula menunjukkan potensi yang besar walaupun hampir kesemuanya tiada sebarang latar belakang dan pengalaman dalam bidang tarian
Cabaran yang lebih hebat pastinya akan menanti peserta untuk sembilan minggu yang akan datang. Setiap pasangan yang masih kekal perlu lebih bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk berhadapan dengan setiap cabaran yang bakal dilalui. Berdasarkan persembahan yang memberangsangkan pada minggu pertama, mereka mampu melakukannya.
“Kehadiran Erra Fazira, Lisdawati, Ferhad dan Zulhuzaimy yang memikul amanah sebagai penasihat juga berjaya menghidupkan program ini. Kehadiran selebriti-selebriti ini bukan sekadar untuk berkongsi nasihat dan memberikan galakan motivasi serta tunjuk ajar kepada pasangan di bawah jagaan masing-masing tetapi juga sebagai sumber inspirasi kepada para peserta’, tambah Azlin
Kini, tinggal 11 pasangan yang masih kekal dalam persaingan Mari Menari. Mereka adalah; pasangan ARIZ, pasangan DITA, pasangan FAHMI, pasangan MASRI, pasangan RAZIF, pasangan ROSDI, pasangan YAT, pasangan ZARIN, pasangan ZUL, satu pasangan anak beranak; pasangan JAYA, dan satu pasangan adik beradik; pasangan NITA.
Persembahan setiap pasangan ini diadili dengan sistem pemarkahan 50% juri dan 50% dari undian penonton. Empat orang juri yang terdiri daripada tiga orang penasihat selebriti dan seorang juri profesional Joseph Gonzalez akan memberikan markah persembahan berdasarkan mutu dan teknikaliti persembahan. Manakala, kuasa penonton adalah melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS). Pasangan yang mendapat markah paling rendah pada setiap minggu akan disingkirkan.
Pihak Astro juga amat berbesar hati untuk mengumumkan kehadiran murai.com.my selaku portal hiburan rasmi untuk program ini. Untuk keterangan lanjut, layari laman web rasmi www.astro.com.my/marimenari atau tekan butang merah ”R” di alat kawalan jauh anda.
Jangan lupa untuk saksikan program-program hebat Mari Menari setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad, jam 9.00 malam menerusi saluran Astro RIA di 104.