Berita baik pastiya kepada anda yang gemar melakukan aktiviti pendakian apabila dapat menghirup semula udara segar di atas puncak gunung. Hah! tak tahu mana nak pergi? Jangan risau, program ‘Kaki Mendaki’ sedang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan membawakan anda ke tempat-tempat yang menarik untuk didaki dan tips untuk pendakian. Semestinya ia satu tontonan yang padat dengan infomasi. Program ini ditayangkan setiap Sabtu, pukul 6.00 petangmenerusi saluran TV Okey.
Bersama-sama pelakon Sharifah Sofia sebagai hos, program 13 episod ini mengajak orang ramai berkongsi pengalaman semasa beliau mendaki gunung-gunung di Malaysia antaranya seperti Bukit Kutu di Perak, Gunung Datuk di Negeri Sembilan dan Chemerong, Berembun & Langsir di Terengganu.
Dengan persiapan lengkap iaitu kru program turut menjalani latihan sebelum memulakan penggambaran, program terbitan Tsar Asia Sdn Bhd ini memberikan tips berguna untuk dikongsikan kepada semua yang baru mahu menjinakkan diri dalam aktiviti mencabar ini.
Mendaki merupakan satu cabaran kepada pendaki. Oleh itu, pemakaian kasut yang sesuai adalah sangat penting bagi memastikan pendaki selamat sampai ke puncak. Begitu juga berkaitan pemilihan beg yang betul semasa melakukan aktiviti mendaki amat penting bagi mengelakkan sebarang kesulitan. Beg yang tahan lasak, kalis air dan mempunyai ruang dalaman yang luas sesuai digunakan bagi membantu pendaki menawan puncak.
Semasa mendaki kecederaan otot amat sukar untuk dielakkan. Oleh itu minyak sapu amat sesuai untuk dibawa sekali agar pendakian dapat diteruskan hingga ke puncak.
Pendakian telah bermula dan ‘Kaki Mendaki’ mengajak merasai pengalaman ke gunung dan bukit yang sememangnya mencabar. Kaki Mendaki akan membawakan kepada anda satu lagi misi menawan gunung. Tetapi, gunung pada episod kali ini sememangnya lebih berbeza dan ianya berada di kepulauan pantai timur iaitu Bukit Keluang, Besut, Terengganu.
Lokasi berikutnya Chemerong Berembun Langsir, Terengganu. Walaupun pendakian disini agak sukar, tetapi air terjun dihujung perjalanan menjadikan perjalanan amat berbaloi.
Trek akar yang berselirat ini sedikit sebanyak memberikan cabaran kepada hos untuk mendaki di Bukit Kutu. Bukit Kutu atau dahulunya dikenali sebagai Trecher’s Hill menyimpan seribu satu khazanah alam semulajadi telah menjadi salah satu episod dalam rancangan ini.
Seterusnya lokasi pilihan di Gunung Baling, Kedah memberi kesedaran tentang betapa pentingnya kita menjaga hutan daripada terbakar kerana hutan adalah khazanah alam yang sangat penting bagi mengimbangi ekosistem bumi.
Sharifah Sofia juga turut membawa penonton merasai pengalaman dan cabaran mendaki Gunung Datuk, Negeri Sembilan, terokai keindahan Mossy Forest & Gunung Irau, Cameron Highland, Pahang, Taman Negara Johor, Gunung Ledang, Johor dan banyak lagi lokasi pilihan pendaki.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.