MENYULAM CINTA DENGAN PUTERI KAYANGAN
Fezrul Khan & Elly Mazlein dalam Slot Lagenda Ulek Mayang
Menyusuli siri drama “Siti Kelembai” di slot Lagenda, “Ulek Mayang” yang diadaptasikan daripada mitos Ulek Mayang bakal menemui para penonton TV3 mulai 25 Oktober 2010, setiap hari Isnin hingga Khamis jam 4.30petang. Diterbit dan diarahkan oleh Rashid Sibir daripada Rashbir Media Sdn Bhd, Ulek Mayang selama 20 episod tersebut membariskan pelakon-pelakon tanahair handalan seperti Fezrul Khan, Elly Mazlein, Seniwati Mariani Ismail, Fizo Omar dan Sabrina Ali.
Lokasi penggambaran yang bertempat di Terengganu berjaya mewujudkan suasana kampung nelayan yang mengamalkan kepercayaan mistik pada zaman dulu. Pihak produksi turut menjalankan kajian dalam menghasilkan busana Puteri Kayangan yang begitu mempesonakan. Salah satu agenda menarik merupakan tarian Ulek Mayang yang dipersembahkan oleh Elly Mazlein pasti menjadi tarikan utama kepada para penonton.
“Ulek Mayang” mengisahkan Ali (Fezrul Khan), seorang nelayan yang sering diganggu dengan bayangan Puteri di persisiran pantai. Namun, Ali hanya mendengar suara gurau senda tetapi tidak pernah melihat wajah si Puteri itu. Semakin hari bayangan Puteri itu semakin menghantui hidup Ali. Ali sentiasa pergi ke pantai untuk mencari Puteri. Malah, dia dapat merasa kehadiran Puteri dalam mimpinya kerana bilik tidurnya akan dipenuhi dengan bau wangian. Ibu Ali, Mariam (Mariani Ismail) semakin risau melihat keadaan Ali yang menjadi seperti sasau dan angau.
Sebenarnya, Ali telah bertembung dengan Puteri Mayang Sari (Elly Mazlein). Suatu hari, Ali telah menyeru nama Puteri Mayang Sari supaya dapat berjumpa. Pada kali pertama mereka bertentang mata, Ali dan Puteri Mayang Sari telah jatuh hati. Puteri Mayang Mengurai (Sabrina Ali) yang juga menyimpan perasaan terhadap Ali telah memukau mata orang sekelilingnya supaya melihat Sari sebagai hantu yang berwajah hitam dan menakutkan.
Percintaan Ali dengan Sari ditentang keras oleh Mariam kerana Sari dianggap sebagai hantu yang akan membawa mudarat kepada anaknya. Setelah Ali sesat dalam alam Puteri Mayang Sari, Mariam mendapat khidmat bomoh untuk mengadakan upacara pemujaan Ulek Mayang. Keadaan menjadi tidak terkawal apabila Mayang Sari mengamuk semasa upacara tersebut diadakan. Apakah yang akan terjadi selepas ini?
Menurut Puan Nurul Aini Abu Bakar, Pengurus Besar Kumpulan, Pengurusan Jenama TV3 & TV9, “Slot Lagenda amat disukai ramai kerana paparan cerita yang berwarna-warni menurut cerita rakyat, dongeng, lagenda dan mitos. Tarian Ulek Mayang yang popular di Terengganu telah mencetuskan ilham Rashid Sibir untuk memberi nafas baru dalam drama bersiri Ulek Mayang kerana cerita itu telah disampaikan secara turun temurun di masyarakat kita.”
“Selain paparan kisah cinta terlarang antara dua dunia yang agak klise, para penonton juga akan teruja dengan tarian Ulek Mayang yang telah diubahsuaikan daripada sebuah upacara pemujaan kepada tarian kebudayaan supaya bersesuaian dengan ajaran Islam pada zaman sekarang. Kami berharap agar penonton TV3 akan terhibur dengan siri drama tersebut.”
Jangan ketinggalan untuk menonton “Ulek Mayang” mulai 25 Oktober 2010, setiap hari Isnin hingga Khamis jam 4.30petang di TV3 dan siaran ulangannya di TV9 jam 8.30 malam.