Penggambaran filem, drama dan iklan mula dibenarkan beroperasi mulai Rabu minggu depan. Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata mereka yang terbabit mestilah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Aktiviti penggambaran ini mesti mematuhi SOP diputuskan terutama mengenai penjarakan sosial dan tidak boleh melakukan perhimpunan ramai,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
– Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Sebelum ini, kerajaan memberi komitmen untuk membenarkan penggambaran filem dan drama berjalan selepas Aidilfitri.
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengingatkan semua syarikat produksi mematuhi prosedur operasi standard (OSP) yang ditetapkan kerajaan sebaik memulakan aktiviti penggambaran, minggu depan.
Dalam kenyataan, FINAS memberitahu akan menghubungi wakil persatuan syarikat penerbitan untuk sesi taklimat mengenai SOP penggambaran yang akan diadakan Jumaat ini.
“FINAS mengingatkan penggiat industri untuk sentiasa mematuhi garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dari masa ke semasa.
“Senarai soalan lazim boleh diakses di laman sesawang rasmi FINAS iaitu www.finas.gov.my pada 9 Jun ini,”
– FINAS
Kenyataan itu menyebut, FINAS melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengucapkan terima kasih kepada kerajaan terutama Majlis
Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan yang memberi kebenaran aktiviti penggambaran beroperasi semula.
Tambah kenyataan itu, FINAS akan berusaha memastikan industri kreatif terus berkembang pesat dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Semoga dengan kelonggaran diberikan ini digunakan sepenuhnya oleh semua produksi dan yang paling penting mereka wajib mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan.