Selain Dr Mahathir, turut dipecat ialah Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Armada BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Dr Maszlee Malik serta Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah yang dilihat sehaluan dengan Dr Mahathir.
Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Kerja Bersatu, Kapten Muhammad Suhaimi Yahya menerusi surat kepada kelima-lima ahli parlimen itu pada hari Rabu.
Muhammad Suhaimi berkata, keputusan itu dibuat kerana kelima-lima ahli parlimen itu enggan duduk di blok kerajaan ketika sidang Parlimen di mana kelima-lima duduk di bangku pembangkang ketika persidangan pembukaan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.
Surat bertarikh semalam itu ditandatangani oleh Setiausaha Kerja BERSATU, Muhammad Suhaimi Yahya.
Mengulas lanjut tentang insiden di Parlimen pada 18 Mei lalu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Wan Saiful menegaskan bahawa tindakan lima Ahli Parlimen itu bertentangan dengan pengamalan mana-mana ahli politik.
“Tidak ada satu parti pun di muka bumi ini yang membenarkan Ahli Parlimennya berada di kerusi yang berbeza dari kedudukan parti di dalam Parlimen.
“Tolong beritahu parti mana di dunia ini yang pernah benarkan ia berlaku? Tiada masalah untuk berbeza pandangan tetapi mestilah (tetap berada) dari blok parti sendiri, bukan dari luar (blok parti),”
– Wan Saiful
Sehubungan itu, beliau meminta semua ahli kembali memperkukuhkan parti dan menghargai segala sumbangan kesemua pemimpin berkenaan sepanjang berada di dalam parti tanpa menafikan jasa mereka.
“Dalam sidang Parlimen pada 18 Mei 2020, YB telah duduk di blok yang tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui oleh YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin merangkap Presiden/Pemangku Pengerusi Bersatu. Sebaliknya, YB duduk di blok pembangkang,”
“Saya mahu tegaskan bahawa mereka tidak dipecat sebaliknya keluar hasil tindakan sendiri. Sebagai contoh, apabila seseorang itu dengan sendiri berjalan keluar dari rumah, dia bukan dikeluarkan dari rumah itu tetapi tindakannya yang menyebabkan dia berada di luar rumah, itulah yang berlaku dalam kes ini,”
– Wan Saiful
Katanya keahlian Dr Mahathir bersama empat ahli parlimen itu terhenti serta merta menurut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu.
Dr Mahathir merupakan pengerusi Bersatu, manakala Mukhriz merupakan timbalan presiden parti itu.
Sementara itu, Bekas Setiausaha Agung Bersatu Datuk Marzuki Yahya ketika dihubungi Harian Metro mengesahkan surat pemecatan yang dikeluarkan Muhammad Suhaimi.
Namun, beliau mempertikaikan kuasa dimiliki Muhammad Suhaimi untuk mengeluarkan surat berkenaan.
Bersatu mula berpecah kepada dua kem selepas Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa parti berkenaan keluar Pakatan Harapan (PH) sebelum membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama Umno dan PAS serta sebahagian Ahli Parlimen PKR diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Manakala, Mahathir bersama penyokong setianya terus bertegas untuk bersama dalam gabungan PH.
Menjawab pertanyaan media, seorang pembantu kepada Mahathir berkata bekas perdana menteri itu meninggalkan pejabatnya di Putrajaya dan belum melihat salinan surat berkenaan.
Khabar angin mengenai rancangan menyingkirkan Mahathir dan penyokongnya berlangsung sejak awal bulan ini dengan mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu – yang kemudian ditangguhkan – dipercayai akan menyokong keputusan itu.
Bersatu berpecah selepas ‘Langkah Sheraton’ yang menyaksikan presiden partinya, Muhyiddin Yassin mengetuai majoriti pemimpinnya membentuk Perikatan Nasiona (PN).
Mahathir merancang untuk melakukan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin dan duduk di bangku pembangkang bersama empat anggota Parlimen Bersatu yang lain semasa persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.
Pada 24 Februari lalu, Bersatu menarik diri dari PH sementara Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri.
Ini membawa kepada kejatuhan kerajaan persekutuan PH dan akhirnya Muhyiddin Yassin diangkat sebagai perdana menteri baru, dengan sokongan sebahagian besar anggota parlimen Bersatu dan semua wakil Umno, PAS dan Gabungan Parti Sarawak.
Reaksi Tun Mahathir
Dr Mahathir Mohamad dan empat pemimpin Bersatu yang menerima surat digugurkan daripada parti itu menyifatkan keputusan tersebut sebagai bertentangan dengan undang-undang.
Dalam satu kenyataan bersama, kelima-lima pemimpin berkenaan berkata tindakan itu dibuat kerana kegusaran presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menghadapi pemilihan parti serta kedudukan beliau yang tidak selamat selaku perdana menteri.
“Pihak kami tidak menerima pemecatan salah ini yang jelas bertentangan dengan undang-undang dan merizabkan hak untuk mengambil tindakan undang-undang yang berkaitan bukan sahaja untuk diri kami tetapi untuk memastikan kemaslahatan ahli-ahli akar umbi Bersatu.
“Yang jelas , pejabat Presiden bermain politik semasa isu Covid-19 dan kegawatan ekonomi yang kini melanda negara.
“Ini juga menampakkan sikap diktator Presiden,” kata mereka dalam kenyataan tersebut.