Kumpulan nasyid Fareast yang sebelum ini terkenal dengan lagu Menanti di Barzakh kini kembali bersatu demi merealisasikan sebuah single baru dedikasi khas buat Almarhum Tuan Guru Dato Dr Haron Din yang berjudul Pewaris. Selain ditujukan kepada Almarhum, lagu tersebut juga didedikasikan kepada semua para murabbi umat yang telah pergi meninggalkan kita termasuk juga dua lagi adik-beradik ulama tersohor ini iaitu Almarhum Ustaz Ishak Din dan Almarhum Dato Seri Abu Hasan Din Al Hafiz.
Kumpulan Fareast yang kini terdiri dari 3 orang ahli iaitu Shairiman Badzri, Nabil Ahmad dan Azwan Ibrahim mengambil inisiatif menjemput bekas anggota lama Fareast iaitu Saudara Ahmad Fadzli dan Naim Helmi untuk terlibat sama merakamkan single terbaru mereka ini.
Lagu berjudul Pewaris ini adalah gubahan saudara Ahmad Fadzli sendiri manakala liriknya adalah karya penulis lirik nasyid terkenal Ito Lara.
“Alhamdulillah, kejayaan kami baru-baru ini meraih anugerah bagi kategori Vokal Terbaik dan Lirik Terbaik dalam acara Anugerah Nasyid IKIM telah membakar semangat kami untuk terus menghasilkan karya baru” kata Azwan.
“Kebetulan pula, kami sudah lama terlibat dengan beberapa acara anjuran Persatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Islam Malaysia Darussyifa’ yang diasaskan oleh Almarhum Dato Dr. Haron Din dan pernah mengadakan persembahan nasyid di hadapan beliau dahulu.
Pihak persatuan telah bersetuju untuk kami menghasilkan sebuah lagu tribut untuk Almarhum” Tambah Nabil yang juga merupakan anak saudara kepada pengasas Darussyifa ini.
“Kami berharap dengan terhasilnya lagu ini, orang ramai terutamanya anak-anak murid Almarhum Tuan Guru akan sentiasa dapat mengingati dan mengenang jasa dan sumbangan Almarhum serta adik-beradiknya terutamanya dalam usaha penyebaran dakwah serta terus memberi motivasi dan inspirasi kepada kami semua untuk turut mengikut jejak langkah mereka,”
“Terima kasih saya ucapkan kepada kumpulan Fareast kerana masih sudi berkolaborasi dengan saya, dan menggunakan karya saya untuk single baru mereka yang sangat bermanfaat ini, walaupun kami sudah membawa haluan masing-masing, kerjasama ini cukup bermakna bagi saya,”
– Fadzli
Sementara itu Naim Helmi yang kini merupakan anggota kumpulan Mirwana turut sependapat dengan kata-kata Fadzli tersebut.
Lagu Pewaris yang baru dilancarkan pada Jumaat lalu kini boleh didengari di seluruh platform penstriman digital dan video muziknya boleh ditonton di rangkaian Youtube Inteam Digital.