in ,

Sinopsis Program Kes KRONOLOGI EKSKLUSIF SIASATAN

Semalam telah berlangsung sidang media program terbaru TV3, KES – singkatan dari KRONOLOGI . EKSKLUSIF SIASATAN di Sri Pentas, Bandar Utama. Antara wartawan program ini ialah Annahita dan Zakiah Anas.

Annahita

SINOPSIS KES – KRONOLOGI . EKSKLUSIF SIASATAN

Membawa maksud tersendiri dengan memberikan paparan secara terperinci data dan maklumat kejadian kes bermula dari mula hingga tertuduh atau penjenayah dijatuhi hukuman samada penjara atau gantung sampai mati.

Ia memberikan kronologi kejadian dan siasatan. Merupakan paparan dan penemuan eksklusif wartawan terhadap KES, dan siasatan terperinci terhadap KES yang dipaparkan.

Program KES berkisar kepada jenayah-jenayah berprofil tinggi yang pernah mendapat perhatian samada oleh media mahupun masyarakat umum di Malaysia. Siaran pertama bermula Rabu, 29 september 2010 waktu siaran prima jam 9 malam ini memaparkan kes-kes sebenar dan kisah benar yang berlaku.

Berkonsepkan doku-drama, KES lebih unik lagi kerana tidak disampaikan oleh mana-mana perantara, tetapi diterajui oleh setiap wartawan yang membuat liputan. KES ditunjangi oleh Penerbit Eksekutif yang juga penerbit berpengalaman selama 17 tahun di TV3, Mohd Said Abdullah Thani serta wartawan-wartawan berpengalaman seperti Zakiah Anas, Harris Farok Alex, Liyana Syairah Mohd Nor dan Annahita Bokavoli Mehdi Bakavoli.

Sesuai dengan konsep doku-drama dan penyiasatan, KES membabitkan lakonan semula serta temubual besama pegawai-pegawai penyiasat, pihak polis, penjara, wartawan yang pernah terbabit ketika laporan kes, saksi, keluarga mangsa serta mangsa yang terlibat. Tidak ketinggalan, kunjungan wartawan ke lokasi kejadian yang dimaksudkan.

Antara kes-kes yang dirungkai, kes bunuh, samun, kes along, samseng jalanan, kongsi gelap, rogol, juvana, jenayah kolar putih, jenayah kolar biru, jenayah rumahtangga dan beberapa lagi jenayah serius.

Antara senarai kes yang akan dipaparkan seperti Botak Chin, Hanafi Mat Hassan (Nur Suzaili Mokhtar), Nurul Huda, Mat Komando, Canny Ong, banduan seumur hidup Salleh Talib dan Jamil Ahmad, Ismail Kerbau, Bentong Kali atau P. Kalimuthu, Al- Maunah, Gang Azhar dan Mona Fandey.

Program 13 siri selama setengah jam ini menyingkap kes-kes pesalah yang telah dijatuhi hukuman. Objektifnya bagi memberi teladan dan pengajaran kepada penonton dan masyarakat amnya supaya menghindari perbuatan jenayah.

Di samping itu, ia juga diharap akan memberi informasi berguna sebagai rujukan kepada pengkaji dan pelajar terutamanya dari jurusan undang-undang dan forensik.

Sinopsis ‘KES’

1. Botak Chin
Kes ini mengenai seorang penjenayah tegar sekitar tahun 70an iaitu Wong Swee Chin atau lebih dikenali sebagai Botak Chin. Setiap rompakan dilakukan melibatkan puluhan ribu ringgit termasuk rompakan terbesar di Selangor Turf Club bernilai RM 200,000. Namun dengan kecekapan pihak polis yang digelar sebagai ‘Magnificient 12’ mengatur gerakan akhirnya penjenayah ini telah tumpas.

2. Nur Suzali (Hanafi Mat Hassan)
Kisah tragis seorang gadis berusia 24 tahun dirogol dan dibunuh pemandu bas ketika dalam perjalanan ke tempat kerja dan lebih menyedihkan kejadian ini berlaku pada hari pertama dia mula bekerja. Beberapa saksi penting serta bukti- bukti yang kukuh menyebabkan penjenayah tersebut dihukum gantung sampai mati.

3. Banduan Seumur Hidup (Salleh Talib dan Jamil Ahmad)
Dua penjenayah ingin mengecapi kesenangan melalui kegiatan samun dan rompak telah menjerat diri sendiri apabila kegiatan mereka berjaya dikesan pihak polis. Kedua-dua penjenayah ini dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat. Keganasan mereka kemudian diteruskan ketika dipenjara apabila menjadi ketua gangster dan setelah 30 tahun di penjara akhirnya mereka mendapat pengampunan dari Sultan Kedah dan mula berubah apabila bebas.

4. Al- Maunah (Amin)
Tahun 2000, sekumpulan pengganas militan, AL- MAUNAH menyamar sebagai pegawai kanan tentera dan menceroboh masuk dua kem tentera di Kuala Rui dan Grik, Perak. Kumpulan ini telah melarikan ratusan laras senjata api dan beribu butir peluru. Ops Subuh dilancarkan oleh pihak polis untuk menangkap kumpulan ini.

5. Canny Ong (Ahmad Najib)
Kes pembunuhan Canny Ong menarik perhatian umum berikutan dia dilaporkan diculik sebelum mayatnya ditemui dibakar dalam sebuah lubang pembetung saliran di tepi lebuhraya Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Pada 23 Februari 2005, Hakim Muhamad Ideres telah mendapati Ahmad Najib bersalah terhadap tuduhan membunuh dan merogol Canny Ong, 29, yang menetap dan bekerja di San Diego, Amerika Syarikat. Dia didapati melakukan kesalahan tersebut antara pukul 1 dan 5 pagi, 14 Jun 2003 di Batu 7, Jalan Klang Lama, Petaling Jaya, Selangor. Bagi kesalahan merogol, Hakim Muhamad Ideres memerintahkan Ahmad Najib dipenjarakan maksimum 20 tahun dan sebatan 10kali. Ahmad Najib kini di Penjara Sungai Buluh menanti hari setlah dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

6. Mat Komando
Penjenayah Mat Komando mula diperkatakan setelah dia mula merompak bank-bank kormersial dan ladang sawit. Hampir 300 hari pihak polis memburu penjenayah ini termasuk kumpulan perompak 13 yang dianggotai Mat komando sendiri atau nama sebenarnya Ahmad Mohd Arshad. Mereka dikatakan terlibat hampir 52 kes rompakan bernilai RM 2.5juta.

Gambar terbaru Annahita

Annahita

Annahita

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Doubletree by Hilton, Kuala Lumpur

Faizal Tahir Kemalangan di Lebuhraya Penchala Link