Menerusi laporan terbaru, kira-kira 500 kenderaan telah ditahan kerana cuba merentasi negeri untuk pulang ke kampung. Kenderaan-kenderaan ini seterusnya telah dihalang untuk meneruskan perjalanan serta diarah untuk patah balik.
Melihat kepada jumlah pemandu yang tinggi dalam mengingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kompaun bakal dikenakan buat individu yang bersalah.
Tambahnya lagi, beliau berharap tidak ramai individu yang memilih jalan untuk dikenakan kompaun memandangkan duit bayaran kompaun lebih elok dibelanjakan untuk perkara yang lain.
Ada Curi-Curi Balik Kampung Sambut Aidilfitri
Polis bersiap-sedia menghadapi kemungkinan pertambahan kenderaan yang cuba merentas negeri tanpa kebenaran termasuk untuk balik kampung menjelang sambutan Aidilfitri minggu depan. Sehingga jam 3.30 petang tadi, dianggarkan lebih 60 buah kenderaan diarahkan berpatah balik ke arah Gombak atau Hulu Kelang ketika cuba melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) sebelum plaza tol berkenaan.
Pemandu terbabit diarahkan berpatah-balik di Plaza Tol Gombak, selepas dikesan cuba melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata beliau dimaklumkan mengenai kesesakan teruk di lokasi berkenaan sejak pagi tadi.
“Saya percaya punca kesesakan ini adalah disebabkan pihak polis hanya membuka satu lorong laluan bagi pengguna jalan raya biasa dan satu lagi untuk dilalui oleh kenderaan dari perkhidmatan penting.
“Namun setelah menyedari jumlah kenderaan semakin meningkat, pihak polis kemudian membuka laluan lain sehinggalah keadaan semakin reda,”
Beliau berkata, trafik semakin tinggi dengan jumlah kenderaan yang banyak sejak tengah hari tadi dan kembali terkawal sekitar jam 3.30 petang selepas laluan tambahan dibuka.
“Pemeriksaan di SJR ini juga turut mengesan lebih 60 kenderaan yang gagal menunjukkan kebenaran untuk melakukan perjalanan rentas negeri.
“Pihak polis kemudian mengarahkan mereka berpatah balik ke Lembah Klang,”
Pihaknya menjangkakan jumlah kenderaan yang mengambil kesempatan melakukan perjalanan rentas negeri tanpa kebenaran akan meningkat setiap hari menjelang Aidilfitri.
Azam turut menasihatkan semua pihak untuk terus mematuhi syarat PKPB dan tidak pulang ke kampung atau menuju ke luar negeri sekiranya tidak mempunyai urusan penting.
Terdahulu kesesakan teruk dikesan berlaku sejauh tiga hingga empat kilometer sehingga ke Taman Melawati dan Sri Gombak, tengah hari tadi.
Jumlah kenderaan yang banyak dipercayai hendak menuju ke arah Pantai Timur.
Sumber berkata sebahagian besar dari mereka yang berasal dari Pantai Timur dipercayai sudah mengambil cuti panjang bermula hari ini untuk pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri.
Sumber: BH Online