Habsah Hassan dilahirkan pada 28 Ogos. Mula melibatkan diri di dalam bidang seni menerusi pembabitannya di dalam penulisan skrip radio, TV dan filem sejak 1967.
Semenjak bertugas di RTM secara tetap sejak 1973 selepas bekerja secara sambilan di RTS, Habsah terus mengorak langkah sehingga beliau dinaikkan ke jawatan Ketua Penerbit pada tahun 1982 sebelum jawatan terakhirnya sebagai Penyunting Skrip pada tahun 1983.
Namun begitu, namanya lebih sinonim did lam bidang penulisan lirik lagu, di mana beliau telah menghasilkan lebih 1,000 lirik lagu sepanjang lebih 30 tahun pembabitannya dalam bidang ini. Ini termasuk lagu rakaman album, runut bunyi, iklan tema, korporat dan lain-lain lagi.
Peluang untuk mencuba bakat dalam penulis lirik datang daripada penerbit dan komposer Din Osman. Maka, terhasillah lirik lagu Terkenang yang melodinya dicipta Ooi Eow Jin pada 1976 dan dinyanyikan oleh Zulkiflee Ahmad, finalis Bintang RTM 1975.
Habsah kemudian menghasilkan lirik untuk Sudirman Haji Arshad, Salamiah Hassan dan Dahlan Zainuddin yang kesemuanya bernaung di bawah label Warnada. Pada zaman era 1980-an nama Habsah semakin diingati peminat seni suara.
Khidmatnya menjadi buruan komposer dan penyanyi serta syarikat rakaman. Banyak lagu hits yang liriknya diilhamkan Habsah pada waktu itu. Ada antaranya yang menerima anugerah seperti Menaruh Harapan (Zaiton Sameon), Aku Kehilanganmu (Fran), Diriku Terbelenggu (Fran), Merisik Khabar (Sudirman) dan Cukuplah Sekali (Jay Jay).
Lagu lirik ilhamnya lain yang popular termasuk Kepulangan (Razis Ismail), Kupetik Bintang-Bintang dan Suratan atau Kebetulan (Kenny, Remy & Martin), Hati Seorang Kekasih (Noorkumalasari), Akukah Terlewat (Royston), Siapa Dia Sebelum Daku (Roy & Fran), Mimpi Yang Tak Sudah (Ibnor Riza), Berkahir Kemarau Di Hati (Fauziah Ahmad Daud) dan yang paling popular Salam Terakhir (Sudirman).
Beliau merupakan penulis lirik pertama yang dianugerahkan Gold Disc kerana sumbangan liriknya yang melonjakkan jualan album artis-artis WEA ketika itu, dan juga yang pertama menerima Anugerah Penulis Lirik Terbaik di Juara Lagu anjuran TV3.
Kemuncak kejayaanya ialah apabila beliau turut menerima Anugerah Wirama di Anugerah Industri Muzik Malaysia sedikit masa dahulu di atas sumbangannya di dalam memartabatkan bidang penulisan lirik di negara kita.
Untuk itu, dengan rasa berbesar hati Warner Music Malaysia mempersembahkan sebuah album kompilasi istimewa yang berjudul Untaian Ilham Estetika Habsah Hassan, dengan menampilkan 30 buah lagu-lagu terpopular dan terbaik nukilan beliau di bawah hakmilik Warner Chappell Malaysia.
Lagu-lagu yang dipilih adalah hasil kerjasama Pengurus Strategik Domestik Warner Music Malaysia, Larry Yusof dengan Habsah sendiri. ”Kak Chah amat terharu kerana Warner sudi mengabadikan lagu-lagu nukilan kak Chah di saat ramai penulis-penulis lirik baru mulai muncul di persada seni kita.
Ini bermakna hasil penat lelah dan ilham kak Chah masih dihargai di kalangan pejuang industri dan juga peminat-peminat seni khususnya” ujar Habsah Hassan, yang lebih mesra dikenali sebagai kak Chah, di dalam satu kenyataan media baru-baru ini. ”Ada sebahagian lagu-lagu ini sudah jarang atau langsung tidak dapat di pasaran ataupun dimainkan.
Dengan memasukkan lagu-lagu yang dianggap ’rare’ ini, kak Chah berharap agar semua peminat-peminat dapat menghayati lagu-lagu ini di samping seleksi yang lebih popular” tambah kak Chah lagi.
Menurut Larry pula, kak Chah merupakan satu-satunya penulis lirik yang terus prolifik di dalam menghasilkan lagu-lagu yang cukup indah puitis. ”Di zaman 70an, kebanyakan penulis lirik wanita adalah terdiri daripada penyanyi-penyanyi top seperti Rafeah Buang, Sharifah Aini dan Sarena Hashim, manakala penulis lirik sepenuh masa terdiri dari pengkarya lelaki seperti Yusnor Ef, Chuari Selamat, Nordin Che Din, S. Sudarmaji dan ramai lagi. Bolehlah dikatakan yang kak Chah merupakan seorang pemecah tradisi di dalam bidang penulisan lirik” ujar Larry.
Selain memuatkan 30 buah lagu-lagu hebat, album ini turut diserikan dengan kata-kata madah khas nukilan teman kak Chah, wartawan berpengalaman Haji Karim Sulaiman yang pernah memenangi anugerah berprestij Anugerah Rahim Kajai.
Memetik sedikit kata-kata Haji Karim yang dipetik dari cover album istimewa ini: Kata-kata dalam liriknya disusun, digarap dan diadun dengan cantik melambangkan keindahan seninya yang tiada tandingan. Nilai estetika dalam karyanya dikagumi.
Ungkapan indah dalam liriknya menjadi sebutan dan ikutan. Dia memperjuang dan mendaulatkan bahasa Melayu dengan caranya tersendiri.Untaian ilhamnya mengandungi nliai estetika tinggi yang menjadi khazanah negara bangsa selamanya. Itulah keistimewaan insan bernama HABSAH HASSAN yang dikurniakan Allah bakat seni istimewa ini.
Untaian Ilham Estetika Habsah Hassan yang telahpun berada di pasaran mengandungi 30 buah lagu-lagu yang disenaraikan seperti berikut:
Disc 1
• Lagumu syairku – razis ismail
• Aku hanya pendatang – fran
• Merisik khabar – sudirman
• Bukan belas bukan simpati – azian mazuan
• Cinta beralih arah – aishah
• Cukuplah sekali – jay jay
• Jangan ada benci – casey
• Karang dilautan sepi – dayangku intan
• Kau yang tersendiri – jay jay
• Kepulangan – razis ismail
• Kita insan biasa – jay jay & dayang
• Cinta nusantara – sheqal
• Kuredha sendiri – klthsom
• Legenda – sheila majid
• Mencari mimpi – azlina aziz
• Wajamu di hari raya – azman abu hassan
Disc 2
• Merenung bulan – aishah
• Pulangkan – misha omar
• Sendiri – jamal abdillah
• Suratan atau kebetulan – kenny remy martin
• Tak mungkin kerana sayang – alyah
• Tuahnya malangku – linda elizabeth
• Usah bertanya lagi – siti fairuz
• Wajah rahsia hati – fauziah ahmad daud
• Yang terindah hanyalah sementara – erra fazira
• Suatu waktu dahulu – dwen
• Bicara tentang cinta – dato’ shake
• Di sini buat pertama kali – azlina aziz
• Salam terakhir – sudirman
• Mawar terpinggir – fran
• Hari raya bahagia – jay jay
• Haya kad ucapan – azlina aziz