Berita ini berikutan kegagalan pihak produksi Ogy Ventures & Network milik pelakon terkenal Fauziah Ahmad Daud untuk melunaskan baki bayaran semua yang terbabit dalam teater komedi seram itu yang dipentaskan di Istana Budaya pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu.
Man ketika dihubungi berkata, sehingga kini dia baru menerima bayaran 20 peratus dan bakinya masih belum dilunaskan Fauziah atau mesra disapa Ogy.
“Dua minggu sebelum pementasan teater saya dan barisan pelakon sudah berkampung di Istana Budaya untuk sesi latihan. Setiap hari kami akan berkumpul dari jam 9 pagi sehingga 12 tengah malam. Malah banyak tawaran terpaksa ditolak bagi memberikan sepenuh komitmen dan disiplin pementasan teater ini.
“Ketika menerima tawaran ini saya begitu gembira kerana pengarah dan barisan pelakon teater ini adalah rakan saya. Tambahan pula, ini adalah peluang keemasan beraksi di pentas Istana Budaya buat kali pertama.
“Walaupun pada hari terakhir kami bercadang untuk tidak meneruskan pementasan, tapi mengenangkan orang yang sudah membeli tiket dan mahu menjaga air muka Ogy, kami bersepakat untuk teruskan juga kerana pihaknya berjanji akan melunaskan baki bayaran pada 16 Mac,”
– Man Raja Lawak
Man berkata, janji yang diberikan hanya tinggal janji selepas hampir dua bulan menunggu bayaran penuh.
“Kini, semuanya hanya tinggal janji. Hari demi hari kami menunggu dan hampir dua bulan kami menanti duit kami sehingga semua pelakon termasuk kru terpaksa mengemis dan meminta-minta.
“Ogy juga mendakwa akan membayarnya pada hujung April namun tiba-tiba hilang daripada radar kumpulan WhatsApp kami. Sebelum itu, saya difahamkan dia ada menghubungi beberapa pelakon yang lantang bersuara secara senyap dan memberikan sejumlah duit daripada baki bayaran bagi ‘menutup mulut’ supaya perkara ini tidak menjadi kecoh,”
– Man Raja Lawak
Menurut Man, memandangkan kawasan perumahannya kini diisytiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), dia tidak dapat untuk membuat laporan polis berhubung perkara itu.
“Kawasan rumah saya di Pasar Borong Selayang sedang PKPD, jadi kawalan sangat ketat. Kalau nak keluar pun perlu mendapat kebenaran askar untuk membuka pintu.
“Mungkin selepas PKPD baru saya akan membuat laporan polis seperti yang dilakukan beberapa pelakon.
“Apapun saya masih akan menunggu baki bayaran kerana segala titik peluh dan kepenatan kami ada harganya dan bukan untuk diberi percuma.
“Lagipun saya bukan ahli perniagaan yang ada duit yang banyak. Saya pun menunggu tawaran untuk teruskan hidup,”
– Man Raja Lawak
Terdahulu Harian Metro melaporkan bekas peserta Raja Lawak musim pertama, Che Mat membuat laporan di Balai Polis Bandar Tun Hussein Onn Cheras, semalam bagi menuntut baki bayaran daripada penerbit Fauziah Ahmad Daud.
Enggan membiarkan isu itu terus panas dalam kalangan netizen dan penggiat seni Ogy tampil mengakui sedang berusaha untuk melunaskan baki bayaran kepada barisan pelakon dan kru produksi teater itu.