Terbaru, menerusi satu temu bual bersama radio Suria FM semalam, Bella seolah-olah memberi bayangan mereka sudah rujuk semula. Difahamkan, Sharifah Shahirah dan Tyzo bertanyakan kepada Bella tentang khabar angin mengenai statusnya dengan Aliff. Bagaimanapun, Bella hanya mendiamkan diri, namun kedua-dua penyampai radio itu meluahkan rasa syukur seolah pasangan itu sudah kembali rujuk sebagai suami dan isteri.
Bella sendiri mengakui bahawa dia dan Aliff sudah lama berbaik tetapi enggan memberikan sebarang komen lanjut mengenai perkara itu kerana ingin menghormati keluarga kedua-dua belah pihak lebih-lebih lagi sedang krisis penularan wabak COVID-19 melanda.
“Dah lama berbaik. Saya hormati kedua-dua permintaan keluarga. Dalam masa tidak sesuai dengan keadaan sekarang, banyak benda penting nak uruskan dan fokus,”
– Bella Astillah
Dalam pada itu, kedua penyampai radio itu turut mengajukan soalan mengenai spekulasi mengatakan Bella diri sedang berbadan dua. Bella hanya meluahkan rasa syukur dan meminta agar mendoakan yang baik-baik sahaja.
“Berapa bulan dah Bella? Ada yang kata begitu sebab nampak seri mengandung dah ada. Kalau betul seronoklah kami. Dah check, scan jantina ke?” seloroh Tyzo.
Terdahulu, Bella tidak menolak kemungkinan untuk menerima semula Aliff Aziz dalam hidupnya jika itu yang terbaik buat kehidupan anak mereka. Malah, Bella berkata dia tidak pernah membenci bekas suaminya itu.
Aliff dan Bella berkahwin pada 9 September 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata. Mereka mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing pada 16 Mei tahun lalu.