SELAMI KISAH ANAK LEMBAM DALAM TELEMOVIE GIA DI TV1
Memiliki seorang anak yang tidak berapa cerdik atau lembam sememangnya memerlukan kesabaran si ibu dalam menjaga dan mendidiknya. Begitu juga penerimaan keluarga termasuk adik-beradik yang sepatutnya melindungi dan memberikan perhatian yang lebih kepada golongan kurang bernasib baik ini.
Namun tidak semua orang yang sanggup menerima ketentuan itu sebagai takdir yang harus diterima mereka dengan rela hati. Begitu yang berlaku dalam diri Gia, watak yang ‘dihidupkan’ oleh pelakon Memey Suhaiza. Menerusi drama yang disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertajuk Gia pada 8 Oktober 2010 (Jumaat), jam 10.30 pagi di TV1, penonton diajak menghayati drama menyentuh hati yang turut sama dilakonkan oleh Rosnah Mat Aris, Dynas Mokhtar, Norman Hakim, Nadzim Othman, Ghazali Abu Noh, Safura Yaacob dan Aida Khalida.
Plot kisahnya bermula dengan berkongsi kisah Gia, seorang gadis yang bodoh-bodoh alang yang sering dihina oleh adik-beradiknya. Namun Gia seorang yang taat dan baik hati tidak pernah berdendam dengan mereka.
Zaharah, ibu Gia mengajaknya ke bank, tetapi Gia enggan. Abangnya Arif kurang mesra dengan Gia. Fidah, kakak Gia dan abang iparnya Shahril balik ke kampung. Fidah mencadangkan agar ibunya tinggal bersama dengannya semasa bulan puasa. Ibunya enggan, kerana tidak mahu meninggalkan Gia keseorangan.
Fidah marahkan ibunya kerana manjakan Gia. Jasni menghantar barang-barang yang dipesan Zaharah. Gia berangan-angan yang dia mencintai Jasni ketika Jasni ke rumahnya. Zaharah meminta Gia ke kedai kerana ada barang yang tertinggal. Gia rela hati ke kedai. Tetapi Gia tersalah beli barang kerana dia seorang yang lembam. Fidah mengejeknya, Gia merasa sedih.
Gia berhasrat mahu berkahwin dengan pemuda yang baik seperti abang iparnya Shahril. Ketika Zaharah ke pasar Ramadan, Jasni mengirimkan makanan kegemaran Gia kepada Zaharah.
Zaharah merasa kecil hati kerana Fidah dan Shahril dan cucunya pulang ke bandar tanpa menikmati juadah kerana merajuk. Dia juga berkecil hati kerana Fidah tidak jadi beraya tahun ini di rumahnya.
Gia beria-ria membuat kuih untuk kakaknya Fidah. Gia membelikan tudung dan berikan kepada ibunya. Ibunya kurang berkenaan. Gia terasa hati kerana sikapnya ibunya. Zaharah perasaan Gia merajuk, lantas dia memuji kecantikan tudung tersebut.
Satu hari Zaharah naik angin kerana baju mahalnya yang dibeli daripada Tipah rosak ketika diseterika Gia. Gia meminta maaf. Ibunya juga sedih dengan sikap kasarnya itu.
Sementara itu Fidah mengadu anaknya demam kepada Shahril. Kerana bimbangkan demam melarat, dia tidak jadi beraya di kampung. Fidah menelefon ibunya memberitahu keadaan anaknya yang demam. Ibunya menasihatkan Fidah tidak perlu pulang ke kampung dan perlu ke hospital segera.
Zaharah mahu melawat cucunya, tetapi terpaksa meninggalkan Gia. Gia juga berharap ibunya dapat ke bandar. Arif juga tidak pulang beraya di kampung, tetapi beraya dengan kawan-kawannya di Perlis.
Ketika Zaharah sampai di rumah Fidah, alangkah hancur hatinya kerana cucunya tidaklah seperti yang disangka. Zaharah teringatkan kebaikan Gia, walaupun ada kekurangannya.
Zaharah bergegas pulang ke kampung. Ketika sampai di rumah Zaharah tidak perasaan yang dia terlanggar Gia ketika mengundur kereta.
Lalu apakah kesudahan nasib Gia? Pastikan anda mengikuti kesudahannya menerusi Gia pada 8 Oktober 2010 (Jumaat), jam 10.30 pagi di TV1.