Mungkin ramai terlupa yang siaran radio bukan hanya tertumpu kepada siaran lagu sahaja tetapi juga merangkumi pelbagai bentuk siaran seperti berita, dokumentari, drama dan banyak lagi yang meliputi pelbagai isu sesuai dengan halwa telinga pendengar.
Siaran berita misalnya sebelum ini hanya didengari di udara, tanpa mengetahui wajah pembaca. Meskipun hanya menerusi suara, namun setiap penghayatan cara penyampaian pastinya sampai kepada pendengar setia radio RTM.
Dengan kemajuan teknologi terkini di RTM, wajah pembaca berita radio kini boleh ditatap secara langsung setiap hari, melalui platform media sosial rasmi berita radio di laman Facebook iaitu Contynues.
Laman sosial yang diwujudkan pada 0gos 2018 bertujuan sebagai ruang alternatif kepada wartawan berita radio RTM menyiarkan bahan liputan berita yang mereka hasilkan setiap hari.
Ia kemudianya dikembangkan kepada konsep penyiaran berita bervisual.
Ketika itu hanya berita Bahasa Melayu jam 7 pagi, 1 tengah hari dan 5 petang sahaja disiarkan secara langsung.
Namun mulai 1 Januari 2020, siaran berita radio bervisual secara langsung melalui laman rasmi Contynues turut melibatkan tambahan siaran berita, termasuk daripada bahasa lain.
Ini melibatkan Berita Mandarin pada pukul 10 pagi, 11 pagi untuk Bahasa Inggeris, 2 petang dan 7 malam untuk berita Bahasa Tamil dan 3 petang untuk Bahasa Melayu.
Penyiaran berita radio menerusi Contynues juga sebagai menyahut saranan transformasi format siaran radio oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Tuan Gobind Singh Deo tahun lepas, supaya berita radio disiarkan secara bervisual.
Diharap menerusi laman Contynues, pendengar setia radio RTM akan terus memberi sokongan kepada petugas Seksyen Berita Radio untuk mempermantap kandungan dan penyampaian mereka.