Harapan penyanyi dan komposer muda, Tuah Adzmi untuk melancarkan single serta video muzik terbaru serentak tidak kesampaian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tuah Adzmi berkata, mengikut perancangan awal, single dan video muzik berjudul Kecewa mahu dilancarkan serentak di YouTube FMC Music, Khamis lalu.
“Sepatutnya single kedua saya dilancarkan serentak dengan video muzik.
Tetapi ketika kami mahu memulakan penggambaran, kerajaan melaksanakan PKP. Ini membuatkan segala perancangan terbantut.
“Sebagai ganti, kami menayangkan video muzik lirik di YouTube kepada peminat. Saya harap peminat terhibur dan sabar menantikan klip video rasmi lagu ini,”
– Tuah Adzmi
Bagaimanapun, Tuan Adzmi atau nama sebenar, Arumi Nafis Mohd Adzmi enggan menyalahkan situasi. Sebaliknya, dia bersyukur dan yakin ada hikmah besar buat lagu terbarunya itu.
“Sebagai penyanyi dan pencipta lagu ini, pasti saya meletakkan harapan luar biasa. Saya anggap keadaan ini adalah cabaran besar bagi pencipta muda seperti saya.
“Tidak dinafikan, saya sangat berdebar dan risau dengan sambutan yang bakal diberi. Adakah lagu ciptaan saya diterima? Ke manakah arah tuju dan kedudukan saya dalam industri hiburan pada masa akan datang,”
– Tuah Adzmi
Sejak ditayangkan, muzik video lirik single Kecewa merekodkan lebih 95,000 tontonan.
Sumber: BH Online