Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob hari ini menjelaskan kerajaan tidak akan membenarkan kedai gunting rambut untuk beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berlangsung. Pengumuman itu dibuat susulan kebenaran terdahulu oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang menyenaraikan perkhidmatan itu sebagai salah satu industri yang dibenarkan beroperasi jika mendapat kelulusan.
“Perdana Menteri (Muhyiddin Yassin) dah buat keputusan iaitu kedai salon dan kedai cermin mata di seluruh negara tidak dibenarkan operasi sepanjang PKP ini dilaksanakan.
“Harap (penjelasan ini) jawab segala soalan rakyat. Tidak ada lagi isu, kedai (gunting) rambut tidak dibenarkan operasi,”
– Ismail Sabri Yaakob
Pengumuman yang dibuat dalam sidang media harian itu sekaligus meredakan kebimbangan ramai sebelum ini yang khuatir penularan wabak COVID-19 akan bertambah teruk sekiranya kedai-kedai gunting ini dibenarkan beroperasi.
Selain itu, beliau turut mengumumkan tiada aktiviti penganjuran bazar ramadan dibernarkan di seluruh negara untuk tahun ini menjelang bulan ramadan yang akan tiba tidak lama lagi.
Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengeluarkan senarai tujuh sektor perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi bagi fasa tiga PKP bermula 15 April ini, antaranya kedai gunting rambut dan kedai cermin mata.
Pengumuman itu bagaimanapun menimbulkan perdebatan ramai berikutan kebimbangan kemungkinan wujud kluster baharu jangkitan COVID-19 di Malaysia di premis berkenaan.
Semalam, majoriti pengusaha kedai gunting rambut, dilaporkan sanggup menanggung kerugian dengan menutup kedai, berbanding menjalankan operasi dan berdepan risiko penularan jangkitan COVID-19 ketika PKP fasa ketiga berkuat kuasa hingga 28 April ini.
Keputusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk membenarkan kedai gunting rambut beroperasi sebelum ini menerima reaksi pelbagai daripada netizen dengan ada yang menyuarakan kebimbangan mengenai perkara itu.