Penyanyi kelahiran Akademi Fantasia musim kedua, Farah Diana Anuar kini sudah nekad untuk bertudung. Budiey ucapkan tahniah buat Farah sebab mengambil keputusan yang positif. Diharap semoga niat suci ini lahir dari hati yang ikhlas tanpa paksaan dari sesiapa. Memang betul, Farah nampak manis bila bertudung. Itulah berkat dari doa peminat dan keluarga yang sentiasa mahukan yang terbaik buat dirinya.
“Sukar untuk saya imbas kembali detik itu kerana sesungguhnya ia berlaku dalam sekelip mata, di mana Tuhan menggerakkan hati saya untuk melihat satu sisi lain dalam hidup ini. Lebih mudah jika saya sifatkan perubahan ini berkat doa peminat dan keluarga yang sentiasa menginginkan yang terbaik buat saya. Bayangkan, sejak saya mengacarakan program Rasa Halal Orient yang memerlukan saya bertudung, ramai peminat mahu saya kekal bertudung. Ramai berdoa saya berubah dan mungkin doa mereka dimakbulkan Ilahi. Ia perubahan baik buat saya.”
Di Metro Ahad hari ini, Farah telah menceritakan detik-detik di mana Tuhan telah membuka pintu hatinya untuk bertudung.
“Sepanjang dua minggu menjelajah Kemboja dalam penggambaran program Rasa Halal Orient baru-baru ini, saya sempat mengunjungi sebuah pusat Islam di sana yang menempatkan sekumpulan kanak-kanak yang menuntut ilmu al-Quran.
“Saya sempat meninjau dan mengikuti kelas yang diadakan serta mendekati aktiviti mereka di sana meskipun hanya kira-kira 45 minit. Memang sayu dan rasa tersentuh. Bayangkan, mereka hidup daif dan serba kekurangan baik di segi pakaian, alatan pembelajaran serta makanan yang dihidangkan. Saya tidak sanggup menggambarkan keadaan itu kerana ia terlalu sedih untuk dikenang. Yang membuatkan air mata saya mengalir laju adalah kesungguhan dan semangat mereka yang kental dalam menggali ilmu agama. Biarpun daif, mereka tetap tabah menuntut ilmu.
“Dalam perjalanan pulang menuju ke bandar Phnom Pehn, saya duduk bersendirian di dalam bas dan merenung lama ke luar jendela memikirkan nasib serta semangat kanak-kanak itu. Ternyata saya jauh lebih bertuah daripada mereka.
“Bagaimanapun, mereka sangat tabah dan memperoleh kebaikan di dunia dan akhirat. Dari situ saya ambil keputusan untuk terus bertudung dan memaklumkan hasrat itu kepada abah di Malaysia menerusi kiriman SMS.”
Setelah bertudung, Farah harap pihak penerbit dan penganjur faham dan menghormati pendiriannya. Pasti ada batasan dan garis panduan yang sesuai dengan imej baru beliau.
Farah kini masih lagi menjadi pengacara Nasi Lemak Kopi O di TV9.