Demi menghormati saranan kerajaan yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai usaha memutuskan rantaian wabak koronavirus (COVID-19), penyanyi baharu Fadh Majid, melancarkan single perdananya, Bukan Takdirku melalui platform media sosial, Instagram (IG) dan Bigo.
Segmen yang dinamakan Borak Santai Bersama Fadh Majid itu diadakan pada 27 Mac (Jumaat) lalu, berjalan secara serentak di IG dan Bigo Live selama 1 jam bermula dari 8.30 hingga 9.30 malam.
Sementara itu, pada jam 9 malam video lirik lagu berkenaan dilancarkan menerusi saluran YouTube Todak Music.
Tidak hanya menjawab pelbagai soalan yang diajukan oleh pengikutnya, Fadh juga sempat berinteraksi secara langsung bersama guru vokal, Cikgu Shafie yang mengajarkannya teknik nyanyian; penyanyi terkenal, Shiha Zikir; termasuk rakan media dari unit hiburan.
Menjawab pertanyaan media bagaimanakah perasaannya saat terpaksa melancarkan single Bukan Takdirku dalam skala sederhana menggunakan platform media sosial, bukan majlis besar-besaran sepertimana biasa kita lihat, Fadh ternyata berlapang dada dengan keadaan ini.
Malah Fadh turut menjelaskan dia dan syarikat rakamannya Todak Music, bukannya tidak sensitif apabila meneruskan hasrat untuk melancarkan lagu ini ditengah-tengah masyarakat seluruh dunia berasa terancam dengan wabak COVID-19.
“Meskipun dalam keadaan penularan wabak COVID-19 dan PKP, ada sesetengah kerja perlu kita laksanakan.
Seperti pelancaran hari ini, tarikh yang dipilih sebenarnya sudah lama dirancang.
“Atas dasar kepekaan dan keprihatian, malah demi kebaikan bersama, saya dan Todak Music mengambil inisiatif untuk menjadikan platform digital seperti Instagram dan Bigo sebagai landasan utama bagi pelancaran dan promosi single ‘Bukan Takdirku’ sepanjang kita dalam penjarakkam sosial dan mengharungi krisis wabak Covid19”
“Memandangkan ini saja cara terbaik buat masa sekarang bagi memperkenal dan mempromosikan single saya.
“InsyaAllah apabila keadaan sudah reda nanti, pastinya akan ada sebuah majlis dilakukan,”
– Fadh Majid
Penyanyi yang berasal dari Melaka ini dilahirkan dengan nama Muhammad Fadhlullah Abdul Majid berusia 26 tahun.
Dalam kekalutan COVID-19 dan fokus utama masyarakat untuk sama-sama memerangi wabak ini, adakah dia tidak bimbing jika single pertamanya itu gagal mendapat perhatian umum, Fadh juga menerima apa juga ketentuan Allah SWT dengan hati yang terbuka.
“Sebagai hambaNya saya sudah berikhtiar, terserah kepada Allah SWT untuk menentukan perjalanan lagu ini.
Mungkin berjaya atau sebaliknya, mudah-mudahan nasib berpihak kepada saya kerana saya yakin lagu ini mampu pergi jauh,”
– Fadh Majid
Bercerita lanjut mengenai single Bukan Takdirku, ia adalah hasil nukilan Fadh sepenuhnya.
Lagu ini mengisahkan cinta yang terputus di tengah jalan dan bagaimana setiap daripada kita harus meredai sesuatu perpisahan yang terjadi.
“Biasanya bila bercakap mengenai lagu putus cinta, ia diekspresikan dengan rasa benci, kesal, menyalahkan pasangan, dendam dan emosi yang bercampur-baur.
Jarang lirik lagu putus cinta mengangkat konteks perpisahan itu sebagai takdir Allah SWT yang harus kita terima dengan hati yang terbuka.
“Ayah saya selalu berpesan, jangan terlalu terbawa-bawa dengan perasaan amarah apabila kita kecundang dalam percintaan dan jangan sesekali berdendam.
Redakan pemergian insan yang kita kasihi kerana mungkin Allah SWT menjanjikan sesuatu yang lebih baik dalam kehidupan kita yang seterusnya,”
– Fadh Majid
Memiliki variasi vokal versatil dan dominan pada nyanyian bernuansakan R&B, Fadh juga berkebolehan menyampaikan lagu beritma irama tradisional.
“InsyaAllah kalau kehadiran saya diterima baik, dapatlah saya menonjolkan kebolehan nyanyian pada umum.
Bahkan sangat berbangga jika diberi peluang merakamkan lagu irama Malaysia suatu hari nanti,”
– Fadh Majid