Kemaafan Yang Tertangguh – 25 September, 10.00malam
Selama hampir 10 tahun Hartina menjadi menantu Kasmah namun tidak pernah sekalipun dia mendapat kasih sayang sebagai menantu dalam erti kata sebenarnya. Ibu Hartina,
Khadijah tidak berpuas hati dengan sikap besannya yang mengongkong kehidupan anaknya. Selepas 10 tahun tidak dapat berhari raya dengan Hartina, Khadijah datang merayu ke rumah Kasmah meminta agar Hartina dibenarkan pulang ke rumahnya berhari raya. Khadijah ingin berkongsi kesibukan Hari Raya dengan anak perempuan bongsu kesayangannya itu.
Namun Kasmah tetap berpegang dengan prinsipnya dan peraturan yang sekian lama dibuatnya. Hartina merupakan satu-satunya menantu perempuan dalam keluarga, oleh itu dia harus patuh dengan kehendak mertua.
Kasmah juga menetapkan peraturan yang sama kepada anak-anaknya, Jasmin dan Zaila. Sistem bergilir raya tidak ada dalam kamus hidup Kasmah. Suami Hartina, Ilham juga tidak berani untuk melawan ibunya.
Kehidupan mereka adik-beradik sentiasa diawasi Kasmah. Apabila kehendak Kasmah tidak dituruti dan kemarahannya memuncak, pasti dia diserang sesak nafas dan pengsan. Jasmin dan Zaila cuba memujuk Kasmah supaya memberi keizinan kepada Hartina namun Kasmah tetap tidak berganjak dari pendiriannya. Namun sikap garang dan suka mengongkongnya menjadi perbualan jiran sekampung. Untuk menangkis serangan jiran-jirannya, buat pertama kalinya Kasmah membenarkan Hartina pulang ke rumah Khadijah.
Namun dia meletakkan syarat. Hartina harus menyediakan 20 jenis kuih raya dan menyediakan semua hidangan sebelum pulang ke rumah ibunya. Malah rumah juga harus dibersihkan dan dihiaskan secantiknya.
Mampukah Hartina menyempurnakan semua tugasan yang diberikan oleh mertuanya dan adakah dia berpeluang untuk pulang beraya dengan ibu tersayang setelah sekian lama terpisah?
Pelakon: Zamarul Hisham, Eira Syazira, Maimon Talib, Fadhilah Mansor
Pengarah: Fairuz Loy