Dilancarkan tepat tengah malam tadi di semua platform digital, Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0, Fattah Amin, 30, kini tampil dengan lagu Bebas ciptaan Rudy Nastia serta lirik Leo Azman di bawah label Universal Music Sdn Bhd. Turut dilancarkan serentak ialah video muzik lagu itu yang diarahkan Thaqif Saadon di saluran YouTube.
Tidak hanya semata mata mahu dikenali dengan penyanyi lagu cinta atau kasih sayang seperti single terdahulu, Wanita Terakhir, Wanita Terindah, 1234U dan Isterimewa, buah tangan terbaharunya ini juga mengangkat bagaimana setiap permasalahan sosial atau isu membabitkan mental khususnya pasti ada cara membebaskan diri daripada terus dibelenggu dengan kesedihan serta kemurungan.
“Melihat kepada judul lagu ini secara jelas juga membawa kita kepada erti sebuah kebebasan dan tidak mahu terus terbelenggu dengan hal yang negatif.
Saya melihat cara penyampaian lagu ini ditujukan kepada sesiapa saja termasuk peminat yang berdepan masalah sosial termasuk kemurungan.
“Lagu ini cuba menyalurkan semangat baru dan menyuntik motivasi sekali gus mahu membebaskan daripada bebanan dan tekanan masalah dialami.
Pada akhirnya juga kita harus yakin dan percaya dengan diri, bahawa setiap permasalahan pasti ada jalan keluar daripada kepompong itu.
Kita harus ingat masih ada orang sekeliling termasuk keluarga dan kawan yang boleh menyokong kita daripada terus larut tanpa arah tujuan.
“Jika diteliti bait lirik lagu ini ia sebenarnya membawa mesej positif kepada yang mendengarnya,”
– Fattah Amin
Pelakon drama Hero Seorang Cinderella ini juga menjelaskan dia banyak melihat naskhah lagu terbabit dengan melihat isteri tercinta sebagai inspirasi paling istimewa.
“Tak dinafikan lagu Bebas banyak mengambil inspirasi daripada isteri saya.
Dia sendiri memang sudah lama menyebarkan segala elemen dan aura positif dalam hidup termasuk di media sosial.
“Apabila saya menjadi suaminya, inspirasi itu jadi bertambah dekat dalam diri. Kalau perasaan sebelum ini pun dia ada menyebarkan elemen positif menerusi lagu Sayangi Dirimu,”
– Fattah Amin
Lagu berkonsep pop yang menyuntik dan meniup elemen positif , inspirasi serta motivasi ini juga menjadi ruang terbaik buat isteri kepada Nur Fazura Sharifuddin menunjukkan satu lagi anjakan paradigma buat kerjaya nyanyiannya.
Buat kali pertamanya juga pemilik nama Abdul Fattah Mohd Amin ini terbabit dari proses awal hingga akhir penghasilan lagu berkenaan.
Sebelum ini lagu saya terarah kepada elemen romantik dan cinta.
Jadi dengan pelbagai masalah sosial yang kita baca dan dengari setiap hari beberapa tahun kebelakangan ini, saya percaya sekarang masa yang sesuai untuk mengambil satu langkah ke hadapan dalam kerjaya nyanyian.
Sampai bila saya nak terus selesa menyanyi lagu berkonsep cintan cintun. Saya juga mahu ada pembaharuan dalam aliran seni.
Saya mahu beralih arah ke sesuatu yang boleh memberi manfaat bersama sambil berhibur.
Saya lihat ini juga langkah untuk saya tidak statik dengan apa yang ada sekali gus dapat melonjakkan kerjaya seni.
“Bebas ini saya sifatkan sebagai hadiah untuk peminat dan penyokong yang terus setia berada di belakang. Saya yakin peminat contohnya tidak hanya mahu mendengar lagu cinta semata-mata.
Peminat saya ada di pelbagai peringkat umur termasuk dewasa dan muda yang pastinya terpalit dengan masalah semasa. Lagu ini cara saya sumbangkan sesuatu untuk peminat juga masyarakat terutama dalam memberi nasihat dan panduan menaikkan semangat yang hilang,”
– Fattah Amin
Lapan tahun menceburi arena seni, Fattah secara peribadi bangga dengan perkembangan dirinya dalam memastikan karya Bebas menjadi sebuah koleksi yang akan dikenang sampai bila bila.
Saya teruja dan pada masa sama terharu kerana dapat terbabit sama dalam proses pembikinan lagu ini.
Bukan hanya sekadar menyanyi, saya juga terbabit dengan pemilihan melodi serta bunyi untuk lagu.
Saya dan komposer Helen Yap, sama-sama duduk berbincang memilih bunyi muzik yang betul betul baik.
Malah untuk video muzik pun saya mengeluarkan input dan idea. Saya mencurahkan idea, konsep dan isi cerita dalam muzik video ini.
Awalnya pihak produksi video muzik ada idea jalan cerita mereka sendiri. Namun akhirnya jalan cerita saya yang menjadi tunjang penceritaan,”
– Fattah Amin
Fattah menegaskan yang bidang nyanyian bukan dilakukan dengan sekadar melepaskan batuk di tangga, sebaliknya serius bergelar penyanyi.
“Siapa kata saya main-main menyanyi?
Saya serius. Cuma, menyanyi bukan seperti berlakon.
Lakonan mengambil masa panjang, menyanyi pula rekod lagu dalam masa seminggu boleh siap.
Tanggapan itu tak betul. Lihat bagaimana saya begitu bersemangat terbabit daripada A hingga Z untuk lagu Bebas. Daripada proses demo hinggalah ke video muzik.
Peminat kenal saya sebagai pelakon, tetapi jujurnya, saya serius menyanyi. Saya minat menyanyi sejak zaman kolej lagi, siap ada kumpulan sendiri.
Cuma ketika awal menyertai pentas seni, rezeki lakonan yang lebih dulu ditawarkan,”
– Fattah Amin
Dalam perkembangan lain, Fattah kini sedang sibuk melunaskan penggambaran drama adaptasi novel, Pink Smile karya Luna Adresia.
Drama 20 episod yang akan menghiasi slot Lestary Tv3 itu menyaksikan dia bergandingan dengan Sweet Qismina.
Drama ini akan disiarkan di bulan Ramadan kelak. Pada masa sama saya juga menanti tiga buah lagi filem untuk ditayangkan iaiatu Mimaland, Mat Kilau dan Deleted,”
Beralih semula ke single terbarunya Bebas telahpun berada di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer. Joox dan juga Apple Music bermula pagi 13 Mac 2020.