Ella atau nama sebenarnya, Norzila Aminuddin berkata, pertambahan berat badan menjadi punca ramai menyangka dirinya hamil.
“Tak adalah, Ella tak mengandung pun. Ini berlaku kerana berat badan Ella naik, tapi sekarang sudah mula turun.
“Insya-Allah, doakan saja Ella berbadan dua,”
– Ella
Mendirikan rumah tangga dengan juruterbang, Azhar Ghazali pada 2012, penyanyi berusia 54 tahun ini berkata, dia dan suami tidak pernah jemu berusaha mendapatkan zuriat.
Ella berkata, biarpun terpaksa menanti, dia bersabar kerana percaya rezeki Tuhan.
“Kami memang merancang mendapatkan anak. Ella juga sudah menjalani kaedah rawatan persenyawaan in-vitro (IVF). Namun, masih belum ada rezeki.
“Apabila menjalani IVF, Ella kena banyak berehat. Tapi jadual Ella sibuk sentiasa,”
– Ella
Ella ditemui selepas berakhirnya Konsert Kembara Kita 2020 yang dijayakan bersama Datuk Ramli Sarip di Istana Budaya (IB) di sini, malam tadi.
Mengulas konsert yang julung kali diadakan itu, penyanyi yang popular dengan lagu Sembilu dan Sepi Sekuntum Mawar Merah ini teruja berpadu suara Ramli yang banyak membantunya dalam karier muzik.
“Saya mengaku sukar memilih lagu yang mahu dinyanyikan. Namun, Ella harus akur dengan tema ditetapkan.
“Kebanyakan lagu yang didendangkan adalah ciptaan Ramli. Jadi persembahan Ella adalah dedikasi khas untuk beliau,”
– Ella
Konsert tiga jam itu menyaksikan Ella dan Ramli menyanyikan lagu popular masing-masing sebelum tampil dengan tiga lagu duet.
Malam ini adalah slot terakhir bagi pasangan rock legenda ini beraksi di Istana Budaya.
Sumber Berita: BH Online