Pengarah teater, Khir Rahman berkata pemilihan dibuat kerana Man yang juga anggota kumpulan Puteh mempunyai sesuatu yang boleh diketengahkan, selain bakat dan penampilan fizikalnya setara dengan arwah Abam.
“Selepas berbincang dengan penerbit, akhirnya muncul tiga nama. Daripada tiga nama ini, kami sepakat membuat keputusan untuk memilih Man untuk menggantikan tempat arwah.
“Kami selaku pihak produksi telah mengadakan perbincangan dengan teliti tentang penggantian watak Abam dalam teater ini.
“Bukan calang-calang orang yang boleh menggantikan Abam kerana dia memiliki kelebihan dan bakat tersendiri.
“Saya sudah nampak bakat Man ketika di Maharaja Lawak Mega lagi. Nyata andaian saya tepat apabila kumpulan Puteh yang turut dianggotai Ali Puteh dan Mamak berjaya dinobatkan sebagai juara program berkenaan.
“Saya percaya, apa yang ada pada Man mampu membawakan karakter ini dengan baik. Cuma, kami kena ubah watak asal untuk disesuaikan dengan kemampuannya,”
“Pelakon pengganti yang dipilih haruslah mampu mengatasi bakat Abam atau sekurang-kurangnya sama paras dalam kualiti lakonan.
“Kami melihat beberapa kriteria yang ada pada Man, dia juga akan memulakan sesi latihan bermula hari ini,”
– Khir Rahman
Sementara itu, penerbit teater berkenaan, Fauziah Datuk Ahmad Daud atau lebih mesra disapa Kak Ogy berkata bukan mudah untuk mereka memilih pelakon pengganti kerana acuan karakter arwah Abam memang dicipta khas untuknya.
“Dalam usaha mencari pelakon yang sesuai, kami menerima banyak cadangan. Ada yang memberi usul supaya watak diberikan kepada sahabatnya atau ahli keluarga.
“Namun, kami tidak melihat dari sudut semata-mata. Kalau diikutkan saya tak mahu mencari pengganti namun pandangan pengarah juga harus diambil kira,”
– Khir Rahman
Pada majlis itu, pihak produksi turut memperkenalkan pelakon, Douglas Lim yang akan memegang watak sebagai tauke dalam teater terbitan itu. Antara barisan pelakon lain termasuklah Vicha Saywho, Tauke, Mark Adam, Joey Daud, Azrul Chemat, Tapai dan Chiwan dan pelakon baharu, Hanna Halim.
Teater yang mengangkat genre komedi seram itu akan dipentaskan selama tiga hari bermula 28 Februari ini.