Menurut Aprena, dia sepatutnya terlibat dalam penggambaran promosi filem tersebut bersama Abam pada Selasa lalu namun Allah SWT lebih menyayangi pelawak itu yang terlebih dahulu dijemput ke negeri abadi pada pagi Isnin lepas.
“Sampai hari ini saya masih tak percaya Abam pergi buat selamanya. Sememangnya saya peminat group Bocey dari awal lagi tapi berkesempatan berkenalan dengan Abam sahaja sebab kita shoot sama untuk filem yang akan ditayangkan tak lama lagi.
“Excited sangat bila tahu nak kena photoshoot dengan Abam untuk promo sebab lama tak jumpa tapi sehari sebelum (photoshoot), Abam dah tiada.
“Sekarang bukan baby (Aprena) sahaja yang nak post pasal Abam, tapi terlalu ramai yang sayangkan Abam.
Merata orang bercerita tentang kebaikan Abam dan Abam memang seorang abang yang penyayang. Pemergian Abam sangat memberi kesan, dah tiada lawak-lawak daripada Abam.
“Allah lebih sayangkan Abam, semoga ditempatkan dengan orang-orang yang beriman,”
– Aprena Manrose
Abam meninggal dunia selepas dua hari mengalami demam panas. Arwah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Pusu, Gombak, Selangor.
Sementara itu, filem Jodoh Syaitan yang menemukan Aprena dan Abam bakal ditayangkan pada 5 Mac depan. Filem bergenre komedi seram itu diarahkan oleh Ismail Bob Hasim.
Selain Aprena dan Abam, filem terbitan Da Motion Media itu turut dibintangi Sofi Jikan, Fauziah Nawi, Wan Hanafi Su dan Jay Iswazir.
Jodoh Syaitan mengisahkan Megat yang jatuh cinta pandang pertama dengan wanita pilihan Mak Timah iaitu Mawar dan telah mengahwininya tanpa mengetahui asal usul wanita tersebut adalah pontianak yang dipaku oleh rakan-rakannya.
Sumber: KopiPlanet.com