Jurucakap Albayt Travel (M) Sdn Bhd berkata, ketika proses untuk pendaftarannya mengerjakan umrah, Nur Sajat memang mengemukakan dokumennya sebagai lelaki dan tidak pernah memberitahu dia seorang khunsa.
Menurutnya, apabila tiba di tanah suci Makkah, dia sebaliknya memberitahu kepada mutawiff di sana dirinya seorang khunsa.
“Menjadi persoalan jika betul dirinya seorang khunsa mengapa ketika ingin menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur dirinya masih seorang lelaki.
“Pihak Konsulat Malaysia di Jeddah, Arab Saudi juga sudah menghubunginya bertanya kejadian itu sebelum dia mendakwa memiliki surat dari mahkamah menyatakan dirinya seorang khunsa,”
– Jurucakap Albayt Travel (M) Sdn Bhd
Bagaimanapun, jurucakap itu berkata, surat mahkamah yang dikatakan ada padanya itu tidak pernah dimaklumkan kepada pihak Albayt Travel.
“Kami sudah meminta dia (Nur Sajat) membuat permohonan maaf semalam dan memadamkan semua gambar serta video di dalam laman sosialnya.
“Saya juga nasihatkan dia terus jadi lelaki sepanjang berada Tanah Suci selepas tiba di Makkah kelmarin,”
– Jurucakap Albayt Travel (M) Sdn Bhd
Mengulas lanjut, jurucakap itu menjelaskan Nur Sajat masih berada di Tanah Suci kerana sebelum ini, dia sudah menziarah Madinah dan hari ini mutawiff membawanya bersama rombongan ziarah di Makkah.
“Kami ada menyemak tiket penerbangan kemungkinan dia ada membeli tiket lain untuk pulang, namun setakat ini belum ada.
“Kami juga sudah bertemu wakil Wisma Putra dan setakat ini menafikan Sajat ditahan pihak berkuasa di sana,”
– Jurucakap Albayt Travel (M) Sdn Bhd
Sumber: Harian Metro