Gelaran itu diberikan oleh sejumlah besar pengikutnya yang biasa melihat persembahan jejaka kelahiran Kuching, Sarawak ini sama ada persembahan di jalanan, saluran media sosial seperti YouTube, Instagram, Twitter mahupun Facebook.
Tona suara maskulin artis naungan Todak Music ini akhirnya dapat diperdengarkan menerusi single pertamanya bersama syarikat rakaman berkenaan berjudul Aku Setia.
Muzik video Aku Setia yang baharu saja selesai penggambaran, terinspirasi daripada tragedi menyayat hati yang pernah menggemparkan dunia. Belum mahu berkongsi lanjut mengenainya, segalanya bakal didedahkan pada majlis pelancaran single Aku Setia yang dijadualkan berlangsung pengakhiran Januari ini.
Bercakap mengenai Aku Setia, ia adalah single yang mempertaruhkan hasil ciptaan Razak A’ai sepenuhnya. Menyuntik kelainan, beberapa bait lagu ini turut meminjam suara adik Alyssa Dezek, bintang kecil berbakat besar yang cukup sinonim dengan persembahan ukulele.
“Idea menghasilkan lagu ini pada mulanya tercipta sebagai luahan rasa terhadap ibu saya. Sebelum bersama Todak Music, saya pernah menaungi sebuah syarikat rakaman sebelum ini dan berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mengejar cita-cita sebagai menyanyi di usia yang sangat muda, iaitu 18 tahun.
“Pernah menghasilkan sebuah single, namun ianya kurang menjadi. Malah kehidupan sebagai anak seni sangat mencabar. Keadaan itu mendesak saya pulang ke kampung halaman dan ia disambut dengan penuh rasa gembira oleh ibu saya.
“Ibu sarankan saya supaya mencari pekerjaan lain di Kuching Sarawak dan tinggal bersamanya. Tidak beberapa lama, saya mendapat tawaran daripada Todak Music. Minat terhadap muzik menggesa saya untuk kembali ke Kuala Lumpur.
“Hendak dijadikan cerita keputusan saya untuk menyanyi mendapat tentangan daripada ibu pada awalnya. Tetapi saya berjanji saya akan membawa pulang kejayaan kali ini dan berharap ibu saya setia menunggu momen itu,”
– Razak A’ai
Mentafsir makna lagu ini yang boleh diguna pakai dalam konteks meluas, Razak A’ai mengalih makna cinta, kasih dan setia kepada level hubungan sejagat atau universal. Erti kata lain, ia boleh diaplikasikan untuk pengertian cinta di antara pasangan kekasih.
Sering terinspirasi dengan karya-karya pop dari negara Seberang, Aku Setia mengenengahkan melodi yang mesra pendengar sebagaimana kebanyakan genre muzik dibawa penyanyi mahupun band Indonesia.
Satu pencapaian yang membanggakan untuk artis baharu sepertinya, semenjak lirik video Aku Setia dilancarkan 11 Januari lalu, ia sudahpun mencecah hampir 24,000 tontonan di saluran YouTube. Bahkan jumlahnya dijangka meningkat dengan bantuan pendedahan yang diberikan pihak media.
Ujar Cakra Khan Malaysia ini, dia sudah bersedia menggegarkan persada seni suara dan berharap nasib kali ini menyebelahinya kerana yakin dia mampu menawarkan kepelbagaian kepada industri seni.
“Pertama sekali saya ucapkan terima kasih kepada pihak Todak Music kerana menyakini bakat saya. Todak Music, bagi saya sebuah syarikat rakaman yang kini sedang memberi inisiatif dalam membawa revolusi baharu dalam industri muzik.
“Seiring dengan misi dan visi mereka, keberadaan saya disini bukan untuk mencipta nama sebagai penyanyi saja tetapi pencipta lagu serta lirik juga.
“Mungkin suatu hari nanti, saya diberi peluang berkolaborasi dengan penyanyi tempatan menghasilkan lagu buat mereka. Selain dapat bekerjasama dengan komposer terkenal tempatan, bertukar-tukar idea menghasilkan sebuah karya yang diterima ramai.
“Saya percaya gabungan idea dapat menghasilkan sebuah karya yang lebih menarik,”
– Razak A’aie
Mengulas mengenai vokalnya yang sering disamakan dengan Cakra Khan dan Louis Armstrong, Razak A’ai optimis dalam menyantuni kesamaan itu sebagai satu kelebihan juga bonus untuknya. Harapannya cuma satu, agar tidak dibayangi sesiapa kerana percaya bahawa dia mempunyai kelebihan dan identiti yang tersendiri!