HAYATI ISTIMEWA ERTI KEMERDEKAAN BERSAMA TV3
Merdeka! Merdeka! Merdeka! Masih jelas terngiang 7 kali laungan keramat pemasyhuran kemerdekaan Tanah Melayu oleh Perdana Menteri Negara kita yang pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman pada 30 Ogos 1957 pukul 12.00 tengah malam di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur.
Kini selepas 53 tahun Malaysia ‘bebas’ daripada kuasa penjajah dan terus berkembang pesat sebagai negara maju yang berdaulat, TV3 mengajak para penonton setianya untuk sama-sama menghayati erti sebenar kemerdekaan dengan beberapa rancangan menarik dengan tema “Istimewa Merdeka” sepanjang minggu ini.
Menurut Puan Nurul Aini Abu Bakar, Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 & TV9, “Sambutan Hari Merdeka tahun ini pastinya unik kerana jatuh pada ketika umat Islam di Malaysia mengerjakan ibadat berpuasa.
Jadi, selain daripada memberikan kandungan siaran yang penuh pengisian di samping mendekatkan diri dan hati kita ke arah segala kebaikan dan hikmah bulan mulia ini, TV3 juga terpanggil untuk meraikan hari bersejarah ini bersama para penonton terutamanya generasi muda mengenai kepentingan sambutan hari bersejarah ini dan bagaimana relevannya semangat 1Malaysia yang kini menjadi teras kepada perpaduan kaum dan bangsa negara kita.
Jadikan sambutan hari kemerdekaaan kita lebih bermakna dengan menonton beberapa rancangan terpilih yang merangkumi semua genre dan sesuai untuk tontonan sekeluarga samada program dokumentari (M3 & NONA), drama & telemovie (Sebelum Terlupa & Leftenan Adnan), rancangan bual bicara (MHI) dan juga hiburan (Ewah-Ewah).”
Berikut adalah antara program dan drama “Istimewa Merdeka” TV3 untuk tahun 2010:
Cerekapilihan: Memoir Aishah, 27 Ogos, Jumaat: 1.30petang
Melalui foto-foto koleksi Aishah satu persatu memori terungkap. Sewaktu era pendudukan Inggeris di Tanah Melayu, Aishah bersama Datuk Hassan, Wan Mawar dan ayahnya, Rahim membesar dalam keadaan serba mewah dan sempurna. Datuknya adalah di antara orang Melayu yang kaya dan berstatus besar ketika itu manakala ayahnya pula merupakan seorang jurugambar dan penulis yang berbakat. Namun, suasana harmoni dan kehidupan yang ceria bertukar menjadi porak-peranda akibat kealpaan datuknya yang begitu taksub dengan tindak tanduk Inggeris sehingga semua harta dan kemewahan keluarga tergadai dan bertukar tangan. Penangan daripada kecuaian sendiri menyebabkan Datuk Hassan bagaikan kehilangan punca dan semangat untuk hidup dan akhirnya meninggal dunia. Nasib malang Aishah dan keluarganya terus diuji apabila ayahnya ditangkap ketika cuba menyelamatkan Tauke Tan daripada dibunuh tentera Jepun. Adakah kemelut derita Aishah akan terus berpanjangan atau mampukah wanita ini mengharungi semua cabaran yang datang dengan tabah dan mengecapi nikmat kebahagiaan akhirnya?
Pelakon: Sherie Merlis, Helmi Hussaini, Normah Damanhuri, Faizal Yusof, Sharifah Shahora, Nadia Aqilah, Nur Aqilah Malek.
Cereka 3: Jeneral Tua, 28 Ogos, Sabtu: 11.00pagi
Setelah kematian orang tuanya, Arif terpaksa hidup sendirian di rumah sewanya. Sejak akhir-akhir ini, Arif merasakan bagaikan seperti ada orang yang mengawasi dan mengekori setiap pergerakkannya. Malang nasib Arif apabila rumah sewanya diambil balik dan dia terpaksa mencari tempat baru untuk berteduh. Ketika di dalam kesulitan, Arif didatangi Pak Ali yang mengajaknya pulang ke kediaman tuannya yang hanya dikenali sebagai ‘Jeneral’. Walaupun sangsi dengan tindakan Pak Ali, Arif tiada pilihan selain daripada mengikutnya untuk bertemu dengan ‘Jeneral’. Menurut Pak Ali, Arif merupakan waris tunggal Jeneral yang masih hidup. Maka bermulalah kehidupan baru Arif di rumah Jeneral.
Pelakon: Dato’ Jalaludin Hassan, Eric Fuzi, Fadhil Dani, Maimon Talib.
Majalah 3 Edisi Khas Merdeka, 28 Ogos, Sabtu: 9.00malam
Sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia, jangan lepaskan peluang bersama pengacara Nurul Syuhada Nurul Ain di dalam edisi khas M3 yang memaparkan kisah dan cerita menarik tentang bagaimana tenaga elektrik boleh dikatakan salah satu penjana pembangunan dan ekonomi Malaysia. Bertemakan “Pencapaian Malaysia Sumber Tenaga Alternatif”, paparan kali ini membawa anda melihat dengan lebih dekat tugas rumit dan cabaran serta risiko yang perlu dihadapi oleh kumpulan pekerja yang bertanggungjawab menguruskan terowong elctro-hydro di Cameron Highlands. Lebih menarik lagi, M3 juga berkesempatan mengunjungi rumah panjang di Sarawak yang bukan hanya bergantung kepada tenaga elektrik tetapi telah mula menggunakan sumber alternatif, kuasa solar sebagai sumber tenaga di dalm rutin seharian mereka.
Pengacara: Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zin
Cerekarama Istimewa Merdeka: Sebelum Terlupa, 28 Ogos, Sabtu, jam 10.00malam
”Sebelum Terlupa” mengajak kita sentiasa beringat bahawa penjajah ada dimana-mana. Penjajah di zaman sekarang tidak hanya menumpukan kepada senjata, tetapi menyerang melalui kata-kata, minda dan budaya….Anuar merupakan pesara tentera yang kini tinggal bersendirian di rumah sewa di kampungnya dan tanah pusakanya sendiri. Hidupnya sepi setelah kehilangan isteri dan dua anak yang dikasihinya…. Mengimbas kembali waktu mudanya, Anuar berkhidmat dalam pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia dan kemudiannya diserap ke dalam unit Pasukan Khas (PASKAL). Sepanjang berkhidmat sebagai tentera dia sering meninggalkan isterinya, Rosmah dan anak-anaknya malah tidak berkesempatan untuk bermesra dengan mereka lantaran tuntuan kerjanya. Anak-anak Anuar iaitu Azhar dan Rosdiana, berkelakuan dingin terhadapnya kerana ketiadaan Anuar yang sentiasa keluar bertugas membuatkan mereka seolah-olah tidak mengenali bapa sendiri. Anuar mula menyalahkan Rosmah kerana tidak pandai mendidik anak-anak mereka manakala Rosmah menyalahkan Anuar yang terlalu mementingkan tugas sehingga dia sendiri tidak pandai mengambil hati anak-anak. Pertelingkahan sering berlaku apabila masing-masing cuba menuding jari. Selain itu, jiran Rosmah bernama Zuriani pula mempunyai ideologi seperti orang Jepun di zaman sebelum Merdeka. Ideologi Jepun ialah ’Tanah Asia Untuk Orang Asia dan Bukan Untuk Orang Barat’ manakala ideologi Zuraini, ’Isteri Untuk Suami dan Bukan untuk Dimadu’. Setelah terdengar dan termakan hasutan, akhirnya Anuar dan Rosmah bercerai juga. Selepas beberapa tahun. Azhar meningkat dewasa sebagai remaja yang liar namun Rosdiana bersikap sebaliknya. Dalam diam dia cuba menjejak Anuar. Dapatkah Rosdiana bertemu kembali dengan bapanya yang sudah lama terpisah?
Pelakon: Zamarul Hisyam, Norish Karman, Afiqah Malek, Wan Maimunah, Wan Elyas
Pengarah: Hitler M Zami
NONA Istimewa Merdeka, 29 Ogos, Ahad, jam 2.00petang
Bersama pengacara Maya Karin, ikuti paparan NONA yang agak berbeza dari kelaziman sempena memperingati ulangtahun kemerdekaan Negara yang ke -53. Kali ini, edisi istimewa memberi fokus kepada imej dan kedudukan wanita dalam pelbagai peranan dan tugasan yang mencabar dan menampilakn 4 wanita yang telah berjaya menempa nama di dalam bidang seni, kebajikan, sains dan sukan seperti penyanyi dan komposer muda berbakat, Yunalis Zarai (Yuna), Tokoh Sains dan Direktorat Nano Kebangsaan Malaysia, Prod Dr Halimaton Hamdan, Pengasas PERNIM dan ibu kepada 50 orang anak angkat dari pelbagai latar belakang AID/HIV, pekerja seks, penagih dan salah laku sosial, Yang Dipertua Hajah Norlina Alawi dan pelumba kereta Formula BMW dan bakal beraksi di Formula 1, Natasha Nur Ida Adam Seatter. Diterbitkan oleh Syarida Sharif, NONA turut mengajak para penonton mengimbas kembali kisah-kisah yang menarik menjelang detik kemerdekaan dari 2 tokoh srikandi Negara, Tan Sri Dr Asiah Ghani, Veteren Wanita UMNO dan Datuk Datin Paduka Hajah Fatimah Abdul Majid yang merupakan Pengasas Askar Wataniah Malaysia.
Pengacara: Maya Karin
Pesona 3 Istimewa Merdeka: Leftenan Adnan, 29 Ogos, Ahad, jam 3.00petang
Pada tahun 1934, Kampung Sungai Ramal dikunjungi oleh anggota tentera British yang bertujuan untuk mencari anak-anak muda tempatan yang berkelayakan untuk diserapkan ke dalam pasukan Askar Melayu. Beberapa pemuda kampung termasuk Adnan Bin Saidi berminat menjadi tentera, namun ibubapa beliau tidak merestui kemahuannya itu. Adnan nekad, bersama beberapa orang rakan, mereka keluar dari kampung dan menuju ke kem latihan ketenteraan di Port Diskson. Di situ mereka mendaftarkan diri dan menjalani latihan fizikal dan mental bagi melayakkan diri untuk menjadi seorang tentera. Keberanian dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Adnan melayakkannya terpilih sebagai rekrut terbaik dan seterusnya beliau diserapkan ke dalam pasukan Askar Melayu. Dalam waktu yang singkat, Adnan telah menerima kenaikan pangkat menjadi Kolor Sarjan pada tahun 1937. Pada tahun yang sama beliau turut terpilih menyertai upacara pertabalan King George VI di London. Tidak lama kemudian, Adnan dinaikkan pangkat sekali lagi menjadi seorang Leftenan. Ketika Perang Dunia Kedua, Leftenan Adnan Saidi telah terkorban semasa mempertahankan Tanah Melayu daripada serangan tentera Jepun. Pertempuran di Bukit Candu yang terletak di Pasir Panjang, Singapura itu menyaksikan gugurnya seorang perwira Melayu yang begitu digeruni oleh musuh.
Pelakon: Hairie Othman, Umie Aida, Farid Amirul, Faizal Hussein, Rusdi Ramli
Pengarah: Aziz M Osman
Anugerah: Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-15 & Sutradara Terbaik Festival Filem Malaysia ke-15
Ewah-Ewah Istimewa Merdeka, 30 Ogos, Isnin: 11.00pagi
Relakskan minda anda dan mari bergelak-ketawa bersama Nabil dan Raja Azura yang pastinya akan menghiburkan hati anda dengan telatah lucu dan aksi spontan mereka mengendalikan rancangan berkonsepkan game show Ewah-Ewah edisi khas ditemani tetamu istimewa Hafiz AF, Subashah, Ully, Ainul Aishah, Adam dan Faris (Awanband) yang akan berentap bersama kumpulan masing-masing di dalam permainan menarik seperti baling tin, pacak bendera dan kuiz soal-jawab mengenai kemerdekaan Malaysia.
Pengacara: Nabil, Raja Azura
Malaysia Hari Ini (MHI) Istimewa Merdeka, 31 Ogos, Selasa: 6.30pagi
Mulakan sambutan hari yang bersejarah kali ini bersama barisan pengacara, Ally Iskandar dan Fedtri Yahya yang akan bersiaran secara langsung dari Stadium Putra, Bukit Jalil sambil menyaksikan persembahan menarik yang dianjurkan khas sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-53 yang dijayakan oleh ratusan para sukarelawan terdiri daripada pelajar sekolah dan termasuklah anggota beruniform dan badan korporat Malaysia.
Pengacara: Ally Iskandar & Ahmad Fedtri Yahya
Jadi dengan senarai rancangan dan program yang menarik dan hebat dari TV3, jangan lepaskan peluang untuk meraikan “Istimewa Merdeka” bersama stesen no.1 Negara sepanjang minggu ini!
Selamat Menyambut Hari Merdeka yang ke 53, Malaysia dari Budiey.com