Pelakon popular, Zizan Razak, 35, berkemungkinan terpaksa bermalam di wad hospital selepas dia disahkan positif penyakit Influenza A. Menerusi perkongsian di laman Instagram, Zizan sempat menitip pesanan buat pengikutnya agar sentiasa menjaga kesihatan dan memakai topeng muka ketika berada di kawasan umum.
“Assalamualaikum dan maaf untuk lama tidak update di media sosial. Kini Zizan masih lagi dalam rawatan dan pemantauan pihak hospital kerana terkena virus Influenza A.
“Zizan dapat info sekarang memang ramai yang terkena virus Influenza A atau B. Doakan Zizan cepat sembuh ya. I love you guys,”
– tulis Zizan di Instagram
Susulan keadaan kesihatannya itu, ramai selebriti lain turut mendoakan agar Zizan segera lekas sembuh antaranya seperti Elizad Sharifuddin, Syafiq Farhain, Indah Ruhaila, Fendy Bakry, Fify Azmi dan pengarah Michael Ang.
Dalam masa yang sama, Zizan kini sedang sibuk di lokasi penggambaran filem Polis Evo 3 yang turut dibintangi Shaheizy Sam dan Syafiq Kyle.