Terbitan: Metrowealth Pictures Sdn Bhd
Penerbit: David Teo
Pengarah dan Lakon Layar: Hatta Azad Khan
Pen Pengarah 1: Mazli Abdul Rahman
Pen Pengarah 2: Syahrul Fithri Musa
Konti: Nor Nadia Ahmad
Pengarah Seni: Hashizan Hashim
Senario Asam Garam mengisahkan persaingan di antara Pak Adam (Azizee Jaafar) dan Asam (Zaibo) dalam perniagaan mereka. Pak Adam mempunyai perwatakan yang baik dan menjalankan perniagaan mereka secara jujur dan ikhlas. Manakala Asam pula sebaliknya yang suka mengambil kesempatan terhadap orang lain dan cuba mendapatkan apa yang dihajati secara paksaan.
Pak Adam mempunyai pembantu iaitu Tam (Sathiya) yang mempunyai masalah mata kirinya tidak berfungsi. Manakala pembantu Asam bernama Garam (Lan Pet Pet) pula turut mempunyai masalah iaitu apabila dia bersin, dia akan bertukar karakter menjadi seorang yang baik dan akan menceritakan segala perkara yang baik dan juga keburukan Asam.
Persaingan mereka bukan sahaja dalam perniagaan malah turut bersaing dalam menambat hati seorang janda bernama Cik Hawa (Julia Hana) yang mempunyai anak lelaki bernama Amin (Fimie Don). Cik Hawa menjalankan perniagaan warung makan secara kecil-kecilan dan dibantu oleh anak saudaranya iaitu Odah (Nadia Mustafa) dan Yah (Adeline Tsen).
Kisah bermula apabila Asam bertindak membakar kedai Cik Hawa setelah Cik Hawa tidak membalas cintanya tetapi lebih tertarik pada Pak Adam. Pelbagai usaha dilakukan oleh Asam dan Garam untuk mengkhianati Pak Adam tetapi Pak Adam tetap bersabar dan melayan kerenah mereka. Lebih menambah kemarahan Asam apabila Pak Adam turut bersaing dengannya untuk mendapatkan tender makmal komputer sekolah. Sehingga satu hari, Asam yang telah mempunyai tiga orang isteri, masuk meminang Cik Hawa tetapi ditolak mentah-mentah oleh Amin, Yah dan Odah kerana mereka telah mempunyai pilihan mereka sendiri iaitu Pak Adam.
Asam yang tidak dapat menerima keadaan itu, telah menculik Cik Hawa dan mengugut Pak Adam. Sekiranya mereka ingin Cik Hawa selamat, mereka seharusnya memutuskan tali pertunangan dan Pak Adam harus menarik diri dalam tender makmal komputer sekolah Amin.
Pak Adam, Tam, Odah, Yah dan Amin bersama peralatan ciptaannya cuba untuk menyelamatkan Cik Hawa. Dapatkah Cik Hawa diselamatkan? Apakah yang terjadi seterusnya? Nantikan Senario Asam Garam di pawagam berdekatan pada Aidilfitri ini dengan cerita baru, ragam baru, lawak tak ingat.
WATAK DAN PERWATAKAN
PAK ADAM – AZLEE JAAFAR
Kontraktor binaan dan memiliki sebuah syarikat binaan. Berusia awal 40an. Berwajah sederhana, sentiasa ceria dan berhatimulia. Membuat semua kerja membina, membaiki dan pengubahsuaian rumah dan pejabat. Pak Adam seorang yang tidak kedekut, kuat bekerja dan sentiasa murah rezeki.
ASAM – ZAIBO
Berusia awal 40an, bertubuh sederhana besar. Seorang kontraktor yang sentiasa cemburukan kejayaan Pak Adam dan sentiasa mencari jalan untuk mengkhianati kerja-kerja Pak Adam. Iri hati dengan perhubungan Pak Adam dan Cik Hawa. Telah berkahwin dan mempunyai 3 orang isteri.
CIK HAWA – JULIA HANA
Tinggi lampai, cantik, kemas, garang dan tegas. Pandai memasak dan kuat bekerja. Membuka warung berhampiran rumahnya. Menjadi kegilaan jejaka-jejaka kampung termasuk Adam dan Asam.
GARAM – LAN PET PET
Pekerja Asam. Keadaan fizikalnya kurus dan tinggi. Berasal dari Seberang Perai dan bercakap loghat utara dan pekat. Mempunyai habit apabila bersin akan menjadi seorang yang lurus bendul dan akan menceritakan segala perkara yang baik dan buruk.
TAM – SATHIYA
Pekerja Pak Adam. Seorang yang mengikut perintah majikannya. Keadaan fizikalnya yang tidak sempurna kerana mempunyai masalah penglihatan kerana salah satu matanya tidak dapat digunakan sebaik mungkin.
ODAH – NADIA MUSTAFA
Anak sedara Cik Hawa. Belum berkahwin. TIdak gemar dengan sikap Asam yang cuba untuk memikat makcik saudaranya.
YAH – ADELINE TSEN
Berusia awal 20-an. Merupakan anak saudara Cik Hawa. Turut sama membantu perniagaan warung kopi Cik Hawa bersama Odah.
AMIN – FIMIE DON
Anak kepada Hawa berusia 12 tahun. BIjak dan suka mencipta gajet dari barangan terbuang. Cuba menyatukan ibunya dengan Pak Adam.