Neelofa membuat pengumuman TERGEMPAR secara langsung menerusi program itu dan menurutnya, beliau akan mengacarakan MeleTOP buat kali terakhir pada 31 Disember ini. Pastinya ada sebab tertentu yang membuatkan Neelofa mengumumkan pengunduran dirinya dari MeleTOP.
Apa-apa pun, menurut Neelofa, pengundurannya itu adalah salah satu daripada pengorbanannya dalam merencana karier seni. Yang pasti, sudah tentu berita ini mengejutkan ramai orang terutama sekali peminat dan pengikut Neelofa.
Selepas tujuh tahun mengendalikan program bual bicara infotainment terbitan Astro itu, Lofa memberitahu sepanjang Disember ini adalah bulan terakhir dia bertugas sebagai pengacara di MeleTOP. Berita ini sekaligus menjawab spekulasi ramai selepas pengacara itu dikhabarkan bakal menarik diri selepas tujuh tahun bersama rancangan itu.
Menurut Lofa, keputusan itu sangat sukar untuk dibuat memandangkan dia sudah lama dan serasi dengan program yang cukup sinonim dengan dirinya itu, tapi dia terpaksa kerana akan terbabit dengan program baru yang dirancang pihak Astro.
Dia turut menangis sewaktu membuat pengumuman menerusi rancangan MeleTOP yang bersiaran secara langsung di saluran Astro Ria, malam tadi.
Neelofa mula mengendalikan program MeleTOP pada 30 Oktober 2012 bersama rakan pengacara juga pelawak popular, Nabil Ahmad.
Pasangan itu bersiaran bersama sebanyak 370 episod dan sepanjang mengendalikan program bual bicara infotainment terbabit, Neelofa dan Nabil dilihat cukup serasi.
Sepanjang mengendalikan MeleTOP, Neelofa dan Nabil mampu menonjolkan karakter dan saling melengkapi dengan kekuatan tersendiri.
Menyentuh mengenai siapa bakal pengganti Neelofa, pihak Astro menjelaskan perkara itu akan diumumkan Januari nanti.
“Dengan hati yang sangat berat, ini adalah bulan terakhir saya akan bersama dengan MeleTOP. Terima kasih untuk segalanya dan memberi kepercayaan kepada saya selama ini.
“Bagi saya MeleTOP adalah sebahagian daripada hidup saya. Amat berat untuk saya tetapi saya perlu lepaskan sesuatu untuk dapatkan sesuatu yang lain,”
– Neelofa
Menjelaskan lebih lanjut pengundurannya itu selepas lebih tujuh tahun mengendalikan rancangan MeleTOP, pengacara berusia 30 tahun itu berkata, keputusan itu dibuat demi mencuba sesuatu yang baru.
“Banyak perkara yang saya rancangkan untuk tahun 2020 dan salah satunya saya akan tampil dengan program baharu.
“Memang berat untuk saya tinggalkan MeleTOP kerana program ini melihat bagaimana kerjaya saya berkembang, bagaimana saya dan Nabil kembangkan program ini bersama.
“Tapi saya tak boleh buat semua dan terlalu selesa dengan apa yang saya buat kini,”
– Neelofa
Sejak mula diterbitkan pada tahun 2012, kehadiran Neelofa bersama Nabil Ahmad sebagai pengacara program itu memberi impak tersendiri dan sudah pun bersiaran 370 buah episod selama lapan musim berturut-turut.
Rancangan hiburan berkenaan ke udara pada setiap hari Selasa pada jam 9 malam menerusi saluran Astro Ria.
Terdahulu Neelofa dan pengacara bersama Nabil Ahmad pernah mengumumkan untuk menarik diri daripada pencalonan Anugerah MeleTOP tahun ini.
Neelofa dan Nabil digandingkan untuk mengemudi MeleTOP sejak tahun 2012.
MeleTOP memasuki usia lapan tahun pada November 2019.