Menurut Adira atau nama lengkapnya Siti Adira Suhaimi, 28, dia kini dalam proses menarik balik permohonan cerai selepas memfailkannya di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Barat pada 9 Oktober lalu.
“Ya, kami baru sahaja berbaik semula. Anak-anak menjadi sebab utama saya memberikan peluang kedua kepadanya. Saya sudah berfikir panjang dan saya tak mahu menjadi ibu yang terlalu mementingkan diri sendiri.
“Seperti pernah saya katakan sebelum ini, apa sahaja boleh berlaku. Jadi, doakan yang baik-baik untuk saya, suami dan anak-anak,”
– Adira
Ditanya mengenai tanggapan sesetengah pihak, konon keputusan berkenaan seperti dilakukan seorang yang berjiwa rapuh dan tidak tetap pendirian, penyanyi ini berkata, sebagai manusia kesabarannya tetap ada batasan.
“Saya tidak meletakkan sebarang syarat kepadanya (suami). Selagi saya boleh bersabar, saya akan cuba berbuat demikian. Bagaimanapun, sebagai manusia, kesabaran saya ada hadnya. Jangan langgar batas itu,”
– Adira
Adira berkata demikian ketika ditemui selepas menjayakan persembahan minggu kedua Separuh Akhir Muzik-Muzik 34 (SFMM34) di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, di sini.
Pada pertandingan berkenaan, dia menyampaikan Pujaan Hati hasil ciptaan Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali, manakala lirik pula ditulis Ikhwan bersama Arisz Ab Rahman.
Spekulasi mengenai perpisahan pasangan terbabit timbul apabila ruangan gosip sebuah portal hiburan menyiarkan cerita artis wanita diceraikan ketika sedang hamil anak ketiga, Ogos lalu.
Adnan yang juga seorang ahli perniagaan menikahi Adira di Songkhla, Thailand, sebagai isteri kedua pada 3 Disember 2015.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Anggrek, 2, Asan, setahun, dan Anggun yang dilahirkan 8 Ogos lalu.
Sumber Berita: Portal Berita Harian