Menerusi tele arahan Amin Masyhur ini mengangkat kisah komedi ringan tentang empat orang sahabat bergabung semula untuk melakukan tugasan risikan. Mereka telah ditangkap oleh kumpulan sindiket namun terkejut bila melihat kelibat ketua mereka bersama ahli sindiket tersebut.
Megat kembali mengumpulkan anak buahnya iaitu Farouk, Abu dan Melur selepas menerima arahan Rusman untuk mengintip sindiket yang dikenali sebagai 310 diketuai Geruda. Mereka agak keberatan untuk bergabung semula pada mulanya kerana kegagalan operasi risikan pertama yang juga membabitkan kumpulan sindiket yang sama.
Keadaan menjadi kecoh apabila mereka bertelagah dan mula menyalahkan sesama sendiri semasa berkumpul buat kali pertama. Farouk sebenarnya merupakan seorang pemandu teksi, Abu merupakan seorang pemuzik jalanan manakala Melur bekerja sebagai pelayan di sebuah warung.
Perbincangan demi perbincangan akhirnya Megat berjaya menyatukan mereka semula dan mereka mula mengaturkan pelan tindakan seterusnya.
Melur mengingatkan Abu agar jangan melakukan kesilapan seperti operasi dahulu yang menemui kegagalan. Bertindak mengikut pelan yang diatur, Abu dan Melur berjaya mendapatkan berlian milik Geruda.
Mereka terkejut apabila mendapati berlian yang mereka curi ialah batu selepas ditukarkan oleh seseorang. Semua ahli kumpulan Megat akhirnya ditangkap ahli sindiket 310 dan mereka telah dipaksa untuk menyerahkan kembali berlian tersebut.
Megat terkejut apabila melihat Rusman berada di lokasi penjenayah dan semakin keliru apabila Rusman juga dikenali sebagai Geruda oleh sindiket 310. Rusman akhirnya mengaku beliau menyamar sebagai Geruda. Beliau juga sengaja menggagalkan operasi pertama sebagai helah untuk memperdaya ahli sindiket 310.
Pihak polis terus cuba memberkas ahli sindiket 310 selepas mengepung mereka hasil kerjasama dengan Rusman. Usaha mereka berjaya namun bagaimanakah cara mereka mendepani situasi tersebut? Ikuti kesudahannya di TV2.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.