PROGRAM KHAS RADIO RTM SEPANJANG RAMADHAN 1432H DAN SAMBUTAN KEMERDEKAAN KE-53
Dalam mengimarahkan bulan Ramadan sekaligus menyemarakkan bulan kemerdekaan tahun ini, rangkaian 34 stesen radio RTM dengan gabungan 1 suara, melaungkan semangat patriotisme dalam kesederhanaan menerusi pelbagai rancangan-rancangan menarik khas untuk pendengar-pendengar setia salurannya.
Saluran-saluran utama bermula dengan stesen MUZIKfm mengajak pendengar mengikuti rancangan Kuiz Ramadan di Kafe Muzik sepanjang Ramadan ini (setiap hari, jam 10.00 pagi hingga 2.00 petang) untuk memenangi baucer berbuka puasa di Hotel Maluri dan Hotel Grand Continental Kuala Lumpur.
TRAXXfm membuka peluang kepada pendengar setia satu-satunya stesen berbahasa Inggeris RTM ini untuk mendapatkan Bubur Lambuk Giveaway istimewa TRAXXfm. Menariknya ia diadakan dua kali di mana tempat pertama di adakan di Angkasapuri pada 13 Ogos 2010 dan menyusul kemudiannya pada 20 Ogos 2010 bertempat di Taman Desa, Seputeh bermula jam 4.00 petang hingga 7.00 malam.
SELANGORfm pula mengaturkan program Tazkirah Ramadhan yang dikeudarakan setiap hari sepanjang Ramadhan ini dengan memperdengarkan maksud hadis-hadis Rasulullah S.A.W. yang berkaitan dengan bulan Ramadhan Al Mubarak mulai jam 11.20 pagi dan 4.30 petang menerusi stesen Pilihan Tepat, SELANGOR fm.
Radio RTM berbahasa Mandarin, Aifm menampilkan slot Ramadan@Aifm sepanjang Ramadhan ini yang dikeudarakan sebanyak tiga kali sehari. Istimewa bagi mereka kalangan saudara baru yang mungkin merupakan pengalaman pertama, slot ini berguna untuk mendapatkan tip-tip berguna tentang bagaimana untuk mengharungi bulan puasa ini dengan sempurna bermula daripada pengambilan makanan seimbang seterusnya kepada amalan-amalan mulia sepanjang bulan Ramadhan ini.
Stesen popular Klasik Nasional juga tidak ketinggalan berkongsi program Resipi Warisan mulai pada 11 Ogos hingga 9 September 2010, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 10.30 hingga 11.00 pagi. Menariknya temuramah akan diadakan secara langsung bersama chef-chef terkenal yang dipilih untuk berkongsi sama dengan pendengar mengenai pelbagai resepi hidangan tradisional menarik untuk dijadikan hidangan berbuka puasa.
Menyusul kemudiannya program-program yang diaturkan khas menghayati bulan kemerdekaan. Sepanjang Ogos ini, MUZIKfm menyemarakan Bulan Kemerdekaan dengan mengajak pendengar setiap hari untuk menyertai Kuiz Merdeka. Pendengar yang bertuah menyertai kuiz ini berpeluang memenangi hadiah wang tunai dan baucer penginapan dalam Kuiz Medeka@MUZIKfm.
Seterusnya dengarkanlah pula luahan rasa generasi masa depan negara tentang kemerdekaan, apa yang mereka tahu tentang peristiwa serta individu penting di sebalik kemerdekaan juga jangan lepaskan peluang untuk mendengar suara hati mereka terhadap pemimpin negara menerusi rancangan Kanak-Kanak Istimewa, Listen – Up Merdeka Special pada 27 Ogos 2010, jam 3.15 hingga 3.30 petang. Bakal keudara menerusi stesen TRAXXfm, program ini tentunya menarik perhatian kanak-kanak untuk berkongsi perasaan dengan rakan-rakan sebaya tentang erti kemerdekaan daripada sudut pandang mereka sendiri.
Aifm menarik perhatian pendengarnya untuk mengikuti program Gemilang 1 Malaysia setiap hari Ahad, sepanjang bulan Ogos mulai jam 9.00 hingga 10.00 pagi. Program keudara satu jam ini mengetengahkan isu pelbagai bangsa di bawah payung 1 negara. Dengarkanlah Wawancara Khas bersama tokoh dalam pelbagai bidang yang membincangkan tentang kejayaan serta kegemilangan rakyat Malaysia pelbagai kaum ini.
Sementara itu, SELANGORfm mengajak pendengarnya sama-sama menghayati erti merdeka yang diekspresikan dalam pelbagai cara oleh rakyat Malaysia. Bagaimana pula ekspresi anak-anak kita dalam bentuk puisi terhadap sebuah kemerdekaan? Dengarkannya menerusi program Puisi Anak-Anak Merdeka pada 31 Ogos 2010, jam 12.00 tengah hari.
Stesen berbahasa Tamil, MINNALfm turut menjanjikan program menarik meraikan sambutan merdeka sepanjang bulan Ogos ini. Antara pengisian program Kalai Kathir yang dikeudarakan setiap hari bermula jam 6.30 hingga 10.00 pagi ini termasuklah kisah-kisah jerih perih serta tokoh yang terlibat dalam memenangi perjuangan ke arah kemerdekaan negara.