Apa tidaknya, mengimbau semula persembahan pertama Tulus di Istana Budaya tahun lalu, cukup membuatkan Budiey mengota janji untuk buat liputan di konsert kedua Tulus ini. Hasilnya, Sabtu malam tanggal 3 Ogos 2019 itu adalah momen manis terukir lagi sekali. Tulus benar-benar keren. Benar kata segelintir Teman Tulus, show figura ini tak pernah mengecewakan!
Terima kasih buat penganjur iaitu Shiraz Projects bersama TulusCompany yang sudi menjemput Budiey. Yang ternyata, konsert yang diiringi kumpulan muzik tampil jauh lebih besar berbanding konsert Tulus pada tahun lalu.
Sampai ke hari ini, alunan lagu kreatif hasil Tulus ini masih terngiang-ngiang di telinga. Gerak geri, tepukan penonton dan sorakan bergabung dalam satu gema. Kehebatannya cukup tersendiri. Tidak dapat dinafikan, konser ini mendapat sambutan hangat dari peminat muzik Malaysia, termasuk Indonesia dan juga Brunei.
Konsert yang diiringi 17 pemuzik berpengalaman yang kebanyakannya bersama Tulus daripada awal kemunculan itu menjadi penanda aras baharu dalam perjalanan muziknya.
Ramai dari kita bertanya, apa maksud SEWINDU yang menjadi judul konsert ini. Untuk info kalian, SEWINDU bermaksud lapan tahun dalam Bahasa Indonesia dan konsert ini dijalankan sempena sambutan ulang tahun ke-8 penglibatan Tulus di dalam industri seni suara.
TULUS SEWINDU TOUR KL adalah tanda penghargaan terhadap ribuan peminatnya yang memberi sokongan yang amat luar biasa terhadap penyanyi tinggi lampai yang berasal dari Bukit Tinggi, Indonesia ini.
Tulus mengatakan bahawa sambutan peminat di Malaysia amat luar biasa dan berseloroh adalah menjadi satu kesalahan yang diibaratkan dosa besar sekiranya siri jelajah itu tidak dimulakan di negara ini.
“Syukur dan senang sangat dapat kembali beraksi di sini sekali gus menghiburkan peminat.”
“Pada 28 September ini genaplah lapan tahun saya dalam bidang muzik. Disebabkan itu, saya memilih nama konsert Sewindu yang membawa maksud lapan.”
“Jadi, bersempena ulang tahun ini saya memang ingin mengadakan konsert jelajah sebagai tanda penghargaan kepada semua.”
“Saya bersungguh pilih Kuala Lumpur kerana konsert pertama di sini tahun lalu mendapat sambutan hangat. Jadi, dosa besar kalau tak buat di sini untuk konsert kali ini,”
– Tulus
Lebih manis, konsert berdurasi dua jam itu turut dihadiri penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa sderta keluarga, selain artis lain seperti Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Datuk Fazley Yaakob, Sherry Al Hadad, Nabila Huda dan Atilia. Tulus menyatakan dia berdebar membuat persembahan di hadapan Siti dan menganggap Siti Nurhaliza seperti juri yang sedang menilai nyanyiannya dalam persembahan konsertnya.
Secara seloroh, Tulus meluahkan rasa berdebar apabila membuat persembahan di hadapan Siti dan menganggapnya seperti juri yang sedang menilai nyanyiannya.
“Saya berdebar-debar apabila Siti duduk di depan. Seperti ada juri dalam persembahan ini. Kalau salah sikit tidak mengapa, ya.
“Saya juga nak berterima kasih kepada rakan artis lain yang sudi hadir malam ini. Walaupun kita belum kenal rapat, kalian sudi hadir memberi sokongan,”
– Tulus
Tulus membawakan 24 buah lagu sepanjang 2 jam konsert dari pilihan lagu-lagu dari 3 albumnya. Lagu popular yang dinyanyikan Tulus antaranya Gajah, Ruang Sendiri, Adu Rayu, Monokrom, Langit Abu-Abu, Tuan Nona Kesepian, Teman Hidup, Labirin, Pamit, Manusia Kuat dan 2 buah lagu terbarunya iaitu Sewindu dan Jangan Cintai Aku Apa Adanya.
Lebih istimewa, Tulus yang berasal dari Bukit Tinggi, Sumatra Barat tidak ketinggalan menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu tradisional Minang secara medley yang biasa kita dengar di Negeri Sembilan. Memang memukau habis dan peminat juga turut berdiri menyanyikan lagu-lagu seterusnya.
“Lagu Minang ini antara muzik yang saya dengar sejak di bangku sekolah rendah. Dulu, setiap kali saya mendapat markah tinggi dalam peperiksaan, mak akan menghadiahkan saya dengan memberi peluang memilih kaset yang diinginkan.
“Ketika itu, mak penjual kaset lagu. Secara tidak langsung sebenarnya di situlah bermulanya minat saya terhadap muzik,”
– Tulus
Selain itu juga, Tulus menyanyikan lagu cover akustik Cinta Jangan Kau Pergi nyanyian penyanyi lagenda Shiela Majid dan Bila Larut Malam dendangan Saloma. Versi lagu Cinta Jangan Kau Pergi nyanyian Tulus memang bikin merinding dan diakui sangat menusuk.
Saya Membesar dengan Lagu-Lagu Minang dari Negeri Sembilan. Ia Amat Bermakna, Rendisi Segar Yang Menggetar Jiwa Namun Masih Mampu Mengekalkan Seni Dan Irama Tradisi”
– Tulus
Tulus tidak pernah lekang mengucapkan terima kasih atas kehadiran peminat dan kesanggupan mereka membeli tiket.
Malah, sesekali Tulus berseloroh dan bertanya adakah persembahannya itu bagus dan memuaskan hati.
“Sejujurnya, saya seronok malam ini. Saya tidak terlalu serius kerana mahukan penonton menjadi teman yang boleh menyanyi bersama.
“Dewan yang sejuk ini menjadi hangat dengan kehadiran dan sikap ‘sporting’ semua. Saya berharap semuanya suka dan terhibur dengan persembahan saya.
“Hinggakan sepanjang konsert, tidak sedar sudah separuh perjalanan. Sekali lagi, dari hati yang dalam, saya mengucapkan ribuan terima kasih di atas sokongan dan kesudian kalian menyanyi bersama,”
– Tulus
Tulus menceritakan saat awal pembabitannya, banyak syarikat rakaman tidak mempercayai dan menolak lagu-lagu beliau. Walaubagaimanapun, Ari Renaldi selaku penerbit album Tulus merupakan orang pertama yang mempercayai bakat dan muzik beliau dan terus bersama sehingga kini dalam penerbitan karya-karya muzik Tulus.
Meski usia pembabitannya dalam bidang muzik Indonesia baru lapan tahun, kematangan yang ditunjukkan Tulus pada konsert itu cukup luar biasa.
Menyentuh nyanyian, tidak ada apa yang perlu dipertikaikan. Alunan vokal dan penghayatan penuh makna pada setiap lagu sampai ke jiwa penonton.
Lebih dua jam beraksi di pentas seolah-olah melihat Tulus sedang bercerita menerusi bait lagu yang kebanyakannya mengisahkan perjalanan hidup dan kerjayanya.
“Saya masih ingat, sebelum muncul dengan album pertama banyak syarikat rakaman menolak lagu saya. Namun, Ari orang pertama mempercayai bakat dan muzik saya. Dia masih bersama saya sehingga sekarang yang turut bertindak selaku penerbit.
“Sepanjang lapan tahun ini terlalu banyak kejutan berlaku termasuk mengadakan konsert di sini.
“Terima kasih teman semua kerana sudah menjadi sebahagian daripada kenangan hidup saya,”
– Tulus
Tulus berjaya menarik perhatian penonton sehingga tak mahu berganjak dari tempat duduk, selain membuatkan peminat berdiri dari tempat duduk dan ikut sama berdansa menyanyikan ‘Lagu Untuk Matahari’ diikuti lagu hit Tulus, ‘Sewindu’.
Jujur dikatakan bahawa hanya peminat yang betul-betul menghayati lagu Tulus memang terhibur dan terpesona dengan persembahan Tulus di konsert tempohari.
Persembahan nyanyian ‘live’ beliau memang asyik dengan lirik-lirik lagu yang memberikan inspirasi. Tidak terasa 2 jam persembahan beliau. Bila menonton semula rakaman nyanyiannya, masih meremang seperti masa konsert.
Senarai Lagu
1) Baru
2) Jatuh Cinta
3) Gajah
4) Ruang Sendiri
5) Tukar Jiwa
6) Cahaya
8) Teman Pesta-Kisah Sebentar
9) Labirin
10) Adu Rayu
11) Monokrom
12) Medley Lagu Minang
13) Langit Abu-Abu
14) Tergila-Gila
15) Tuan Nona Kesepian
16) Sepatu
17) Larut Malam – Cinta Jangan Kau Pergi
18) Tanggal Merah
19) Teman Hidup
20) Jangan Cintai Aku Apa Adanya
21) Lagu Untuk Matahari
22) Sewindu
23) Pamit
24) Manusia Kuat
Tahniah buat Tulus dan juga Shiraz Project yang membawakan konsert Tulus ke Malaysia!
Selepas Kuala Lumpur, Konsert Tulus Sewindu Tour diteruskan di beberapa lokasi terpilih di Indonesia.