Astro Naura bakal mengumumkan sesi ‘NAURA SHARES’ bagi bulan Julai yang bertemakan ‘Hajj’ bersempena dengan Aidil Adha yang bakal menemui kita lebih kurang sebulan sahaja lagi! Haa… excited tak nak tengok?
Untuk info pembaca, ‘NAURA SHARES’ merupakan program perkongsian dari hati yang akan berlangsung dalam suasana santai dan penuh intimasi bersama penonton oleh individu-individu ‘luar biasa’.
Bagi edisi istimewa Aidiladha ini, Neelofa, Adam Corrie, Atu Zero, dan pasangan berbasikal ke Makkah, Ahmad & Adilah akan berkongsi tentang pengalaman mereka ke tanah suci Makkah.
Jom kita berkenalan dengan selebriti yang terlibat dengan program ini:
Neelofa, seorang pelakon, pengacara dan usahawan yang berjaya ke senarai ‘Forbes 30 Under 30’, adalah salah satu selebriti yang tidak pernah gagal melawat tanah suci Makkah setiap tahun, bersama-sama keluarganya atau bersama rakan-rakan serta pekerjanya. Dalam sesi ini, Neelofa akan berkongsi tentang pengalaman beliau ke sana, dengan harapan memberi inspirasi kepada anak-anak muda yang lain.
Atu Zero atau nama sebenarnya Sharif Kunal Doli Sharif adalah seorang pelawak, pelakon dan pengacara, yang terkenal dengan penggunaan dialeknya yang sering menjadi hiburan atau ‘punchline’ bagi kumpulan lawaknya, Zero (bersama Sharif dan Syaiful, abang-abangnya). Sebagai pelawak yang sentiasa menghiburkan penonton, dalam sesi ini pula, audiens akan melihat sisi lain Atu, iaitu seorang anak yang amat menyintai keluarga dan agamanya. Beliau akan berkongsi tentang pengalaman pertamanya ke Makkah bersama ibunya, dan hasrat tidak tercapainya untuk membawa ayahnya ke situ.
Adam Corrie adalah selebriti yang dikenali sebagai pelakon yang sering membawa watak antagonis. Koreografer profesional yang berada dalam industri perfileman selama 30 tahun ini pernah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah pada tahun 2017. Sebagai seorang Muallaf, mungkin terdapat banyak perkara yang perlu dipelajari dan gaya hidup yang perlu diubah. Pada sesi ini, Adam bersedia untuk berkongsi pengalamannya dalam mengerjakan Umrah dan ziarahnya dari perspektif seorang ‘saudara baru’.
Ahmad Mohd Isa & Noradilah Moh Sapie adalah pasangan suami isteri yang terkenal dengan ‘Kembara Memburu Hikmah’ mereka di mana mereka tekad berbasikal ke Tanah Suci Makkah yang bermula dari angan-angan yang beralih kepada pengalaman berbulan madu. Dalam sesi ini, mereka akan berkongsi kisah mereka tentang keajaiban, berkat, niat, dan doa sepanjang perjalanan berbasikal ke Makkah.
Satu sidang media akan dibuat oleh Astro untuk mewar-warkan program ini kepada media. Tunggu kemaskini selanjutnya di budiey.com ya.