in

Azizah Mahzan & Ijoy dalam Drama Jalan Lain Ke Madinah

DRAMA KHAS RAMADAN: JALAN LAIN KE MADINAH PADA 13 OGOS 2010 DI TV1

Disangkanya panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Ujian di dalam perjalanan hidup tiada siapa yang boleh menjangkakan. Perniagaan yang dibina dan ditatang dengan penuh tanggungjawab tiba-tiba berhadapan dengan masalah. Pengeluaran menurun dan para pekerja banyak yang memberontak kerana tidak berpuas hati dengan layanan pihak pengurusan.

Keadaan bertambah genting bila Datuk Hisyam mendapat berita anak lelakinya Muzaffar terlibat dengan perniagaan dadah.

BABAK DALAM JALAN LAIN KE MADINAH

Dibintangi barisan pelakon hebat seperti Dato’ Jalaluddin Hassan, Azizah Mahzan, Ijoy, Mohd Asry Azizan, Ramly Saleh dan Abu Bakar Omar, plot-plot menarik ini disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) melatari drama khas Ramadan bertajuk Jalan Lain Ke Madinah pada 13 Ogos 2010 (Jumaat), jam 10.30 pagi di TV1.

Kisahnya berkembang apabila Datuk Hisyam yang cuba menasihati anaknya,ditentang oleh isteri dan Muzaffar sendiri. Sewaktu perbalahan, Datuk Hisyam diserang sakit jantung dan dimasukkan ke hospital. Sewaktu di hospital, Datuk Hisyam telah dibawa mengembara ke alam ghaib, bertemu dengan anak sulungnya, Ehsan (dari isteri pertama yang diceraikan) dan Datuk Hisyam yakin, Ehsan lah yang akan mampu menyelesaikan masalahnya.

Setelah diselidiki, Datuk Hisyam mendapat maklumat yang anaknya itu sedang menuntut di Madinah dalam jurusan Syariah Islam. Pembantu peribadi Datuk Hisyam, Kamarul Arif telah dihantar ke Madinah untuk mencari Ehsan. Sepemergian Kamarul Arif ke Madinah, Datuk Hisyam koma. Keputusan memanggil Ehsan pulang untuk mengambil alih kepimpinan syarikat Datuk Hisyam ditentang oleh kebanyakan orang termasuk isteri Datuk Hisyam sendiri, Datin Kamalia. Ehsan Hafiz seorang lelaki yang sederhana. Dia tidak pernah bercita-cita mahu menuntut harta ayah kandung yang selama ini membiarkan dia dan ibunya. Bagi Ehsan, dapat menjalani kehidupan tenang dan menuntut ilmu di Madinah adalah suatu nikmat yang amat disyukurinya. Atas persetujuan dan rayuan ibunya, akhirnya Ehsan bersetuju untuk membantu ayahnya, Datuk Hisyam. Ehsan pulang ke Malaysia.

MOHD ASRY AZIZAN lakon watak Ehsan

Bermula dari hari itu, pelbagai perubahan dibuat oleh Ehsan. Ehsan cuba mengelakkan sempadan antara pekerja dengan majikan. Manakala pihak pengurusan mula bimbang bila Ehsan mula mengkaji prestasi setiap mereka dan melayani setiap aduan yang dibuat oleh orang bawahannya. Ehsan membawa pekerja-pekerjanya bekerja kerana Allah. Mereka didedahkan tentang erti ibadah dalam bekerja dan keuntungan yang mereka dapat bila berlaku jujur dan amanah. Satu persatu masalah syarikat ditangani oleh Ehsan dengan cara penuh hikmah dan bijak.

Pengeluaran syarikat naik semula dan melebihi tahap yang pernah dicapai sebelum ini. (Apa yang berlaku selama ini hanyalah mimpi Datuk Hisyam semasa komanya) 

Datuk Hisyam yang sedar daripada koma terpaksa menahan telinga mendengar bebelan isterinya berkaitan dengan Ehsan. Akhirnya,berkat doa seorang suami, Datin diserang strok yang membawa kepada lumpuh dan terlantar di hospital. Datuk Hisyam mahu berjumpa Ehsan. Tetapi alangkah terkejutnya bila diberitahu oleh Kamarul Arif bahawa anaknya Ehsan, sudah lama meninggal dunia.

Datuk Hisyam benar-benar terpukul mendengar berita itu. Adakah akan wujud kesedaran di hati Datuk Hisyam untuk insaf dan bertaubat. Untuk mengetahui kesudahan kisah sarat pengajaran ini pastikan anda meluangkan masa menyaksikan Jalan Lain Ke Madinah pada 13 Ogos 2010 (Jumaat), jam 10.30 pagi di TV1.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Fiesta Malam Sabtu di 8TV

Nubhan & Mimie Haris Pengacara Baru INTREND