Penyampai radio Sinar FM, Raja Azura atau nama penuhnya Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin,38, tidak hadir bertugas pagi Rabu dan pada hari ini Khamis selepas berita keretakan rumah tangganya disiarkan di kebanyakan akhbar. Pada hari ini juga sebuah suratkhabar juga ada memaparkan berita tentang kononnya Raja Azura merancang untuk bercerai.
Sumber stesen radio Sinar FM yang dihubungi memberitahu Raja Azura (gambar) sepatutnya tidak boleh “bercuti” kerana pada ketika ini seluruh stesen radio sedang melalui tempoh kaji selidik untuk mengetahui jumlah pendengar.
“Dia diberi cuti khas untuk menyelesaikan masalah peribadi,” kata sumber berkenaan tanpa memberitahu sampai bilakah pengacara itu akan bercuti.
Berikutan itu hanya Khairil dan Salih Yaccob sahaja bertugas mengendalikan segmen Sinar Pagi.
Berita keretakan rumah tangga pengacara itu yang dibina bersama suaminya, Adzmin Tan Sri Osman, 37, telah lama kedengaran tetapi ia dinafikan oleh Raja Azura.
Sebaliknya pelakon itu mendakwa rumah tangganya bahagia dan desas-desus yang diperkatakan itu hanyalah sekadar khabar angin.
RAJA Azura dan Adzmin Tan Sri Osman ketika pernikahan mereka pada Mac 2001. – Foto UTUSAN
Difahamkan Raja Azura telah menghantar permohonan berkaitan rumah tangganya di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, Selasa tetapi tidak diketahui apakah status permohonan tersebut.
Pihak mahkamah juga enggan memberi sebarang komen berhubung perkara itu. Sementara itu seorang peguam yang dipercayai terlibat mengendalikan kes membabitkan Raja Azura tidak mengaku mewakili artis berkenaan. Sebaliknya peguam tersebut terkejut bagaimana wartawan mengetahui berita tersebut.
“Kalau macam itu carilah (maklumat) dengan pihak mahkamah. Maaf saya ada pelanggan,” katanya
Raja Azura berkahwin dengan anak bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Arof pada bulan Mac 2001.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Megat Muhammad Raziq,8, Megat Luqman Hakim, 7 dan Puteri Mkia Maizurah, 4 tahun.
Dengarnya…: Bawalah bersabar Kak Engku
CIK NORMAH amat simpati dengan berita yang cukup mengejutkan. Apabila membaca laporan akhbar semalam, Cik Normah terus mencubit diri sendiri beberapa kali. Apa tidaknya, tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba rumah tangga pengacara, penyampai radio dan pelakon yang bermulut becok, Kak Engku atau Raja Azura dikatakan bergolak.
Bukan saja pejabat Cik Normah yang kecoh, teman-teman di media yang lain juga sama heboh. Iyalah siapa nak percaya hubungan Kak Engku dan suaminya Azmin Osman Aroff bermasalah kerana sebelum ini tak pernah pula dengar sebarang cerita kurang enak mengenai rumah tangga mereka.
Cik Normah yakin, peminat pun mesti terkejut dengan berita ini. Sebab Kak Engku seorang yang ‘happy go lucky’, suaranya di radio sentiasa ceria. Terngiang-ngiang lagi suara Kak Engku atau KE asyik mengusik SY atau Salih Yaacob dan Krill. Ia langsung tidak menggambarkan yang hubungan rumah tangganya sedang berdepan masalah. Mungkin juga Kak Engku cuba bersikap profesional kot?
Tetapi mengikut satu cerita yang Cik Normah terima, kalau Kak Engku nak berpisah dengan suaminya, takkanlah dia masih memasak makan malam untuk suaminya sehari sebelum kisah kononnya Kak Engku mahu ke Mahkamah Syariah.
Bagaimanapun, Cik Normah tumpang simpati jika perkara itu benar-benar berlaku. Maklumlah mereka mempunyai tiga cahaya mata yang masih kecil, yang sulung Megat Muhammad Raziq baru berusia 7 tahun, yang kedua Megat Luqman Hakim, 6, dan yang bongsu Puteri Mia Maizura, 4.
Cik Normah harap, jika betul Kak Engku dan Azmin ada masalah, bawalah berbincang elok-elok. Bukan apa, Cik Normah kasihan kepada anak-anak Kak Engku dan Azmin yang masih kecil. Mereka mesti tertanya-tanya apa yang terjadi kepada ibu dan bapa mereka. Bagaimanapun, sekiranya berita ini tidak betul, Cik Normah memohon maaf sepuluh jari kepada Kak Engku.
Teman Cik Normah di pejabat ada juga cuba mendapatkan Kak Engku, tetapi telefonnya tidak berjawab. Dia cuma menjawab SMS secara ringkas yang berbunyi, ‘Tiada apa apa pun yang berlaku, terima kasih,”