Model ini menjadi model kedua selepas Toyota Vios yang dipasang di kilang baru UMWT di Bukit Raja, Klang, Selangor. Sebagai tambahan terkini kepada barisan kenderaan Toyota, Yaris menjadi bukti sokongan syarikat terhadap usaha kerajaan untuk melihat peningkatan di dalam kandungan serta aktiviti pengeluaran kenderaan tempatan.
Ketika mengumumkan pengenalan rasmi Toyota Yaris serba baru, Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K. berkata; “Agak lama UMW Toyota Motor tidak mempunyai kenderaan hatcbackdi dalam penawaran kenderaannya di Malaysia. Toyota Yaris terakhir dijual antara tahun 2006 dan 2012, dibawa masuk secara CBU dari Jepun. Terdapat kira-kira 1,000 unit Yaris yang dijual dalam tempoh berkenaan.
“Selera dan keperluan pengguna juga sudah berubah. Kini kita melihat ramai pelanggan, terutama dari generasi muda, yang menggemari rekaan hatchbackkerana ia memberikan imej sporty. Melihat corak ini, kami mengambil keputusan untuk memperkenalkan semula Yaris ke dalam barisan kenderaan yang ditawarkan. Model ini juga merupakan hatchbackpemasangan tempatan (CKD) yang pertama dihasilkan di fasiliti pengeluaran baru UMW Toyota Motor di Bukit Raja, Klang,” jelas beliau.
Menurut Ravindran lagi, tambahan model terbaru untuk Toyota ini juga memperlihatkan komitmen syarikat terhadap matlamat kerajaan untuk melihat aspek kandungan tempatan yang lebih tinggi di dalam pengeluaran kenderaan.
Toyota Yaris serba baru ditawarkan dalam tiga varian — Yaris 1.5G, Yaris 1.5E dan Yaris 1.5J. Untuk menyerlahkan lagi imej sportyyang dimilikinya, lima warna menonjol tersedia untuk dipilih, termasuk warna khas Citrus Mica Metallic. Pilihan lain ialah Super White II, Red Mica Metallic, Attitude Black dan Silver Metallic.
Harga atas jalan tanpa insurans bagi Toyota Yaris serba baru ini bagi pendaftaran persendirian di Semananjung Malaysia adalah seperti berikut:
Yaris 1.5G — RM83,888
Yaris 1.5E — RM76,888
Yaris 1.5J — RM70,888
Toyota Yaris serba baru direka untuk memberikan imej dan status yang berada satu tahap di hadapan. Tidak seperti rekaan hatchbackyang pada kebiasaannya cenderung menerapkan bentuk berkotak, profil rekaan pada Yaris terbaru ini lebih segar dan menawan dengan sentuhan lebih maju dan sporty.
Rekaan yang menonjol ini memberikan identiti lebih kuat dan tersendiri. Ketika membayangkan rekaan dalaman Yaris serba baru ini, pereka di Toyota ingin memberikan gaya minimal dan pada masa yang sama mewujudkan rasa ruangan yang lebih besar berbanding saiz sebenarnya.
Material berkualiti tinggi juga digunakan pada ruang kabin, misalnya pada tempat duduk dengan balutan dengan perincian warna yang menonjolkan lagi sisi unik dan sportymodel berkenaan. Sekiranya ruang kargo maksimum diperlukan, penyandar tempat duduk belakang boleh dilipat rata, membolehkan barangan panjang turut boleh dimuatkan dengan mudah.
Bagi memberikan lebih nilai tambah, Yaris baru ini dilengkapi dengan senarai ciri keselamatan yang mengkagumkan untuk menjamin keselesaan dan keselamatan penumpang disepanjang perjalanan. Pendingin hawa automatik, sistem DVD-AVX dengan paparan skrin sentuh tujuh-inci lengkap dengan sambungan USB serta peninjau pemandangan panoramik (PVM) bagi visual 360-darjah dari bahagian atas kenderaan antara ciri yang melengkapinya.
Rekaan ruang penyimpanan barang yang banyak dan bijak menjadi keperluan bagi mana-mana kenderaan kini, ditambah dengan penggunaan pelbagai alatan elektronik, malahan bekas minuman oleh penumpang. Toyota Yaris menyediakan banyak ruang kecil untuk tujuan itu. Satu soket 12V dan dua slot USB untuk mengecas pelbagai peranti elektronik bagi pemandu dan penumpang juga ada.
Toyota Yaris serba baru dilengkapi enjin 2NR-FE 1.5 liter, empat-silinder DOHC Dual VVT-i yang telah terbukti prestasinya sebagai nadi kuasa utama. Enjin ini ditala untuk memberikan penjimatan dan penyaluran kuasa dan tork yang lancar.
Semua varian menggunakan transmisi Sport Sequential Shiftmatic tujuh-kelajuan. Ia turut mempunyai mod manual bagi membolehkan pemandu memilih kedudukan gear dalam sistem CVT berkenaan untuk mendapatkan maklum balas yang lebih cepat. Suis Drive Mode pula membolehkan pemandu memberi keutamaan sama ada kepada penjimatan minyak atau pun prestasi pemanduan.
Model terbaru Toyota ini juga telah menerima penarafan ASEAN NCAP lima-bintang. Ini melibatkan semua varian Yaris memandangkan setiap satu daripadanya dilengkapi dengan ciri keselamatan pasif dan aktif yang diwajibkan oleh ASEAN NCAP untuk mana-mana kenderaan dianugerahkan tahap penarafan maksimum.
Ciri keselamatan yang dimaksudkan termasuk tujuh beg udara SRS, kawalan kestabilan kenderaan (VSC) dengan kawalan cengkaman (TRC) serta bantuan mula mendaki (HAC). Ciri-ciri standard lain pula termasuk cermin pandang belakang elektrokromatik dan suis Drive Mode. Tidak ketinggalan ciri-ciri seperti peninjau titik buta (BSM) dengan amaran lintasan trafik di belakang, DVR dengan amaran perlanggaran hadapan (FCW) dan amaran penukaran lorong (LDW).
Untuk ketenangan pelanggan, pemilik Yaris terbaru ini akan menikmati jaminan lima-tahun, tanpa had perbatuan selepas pendaftaran asal. Ini bermakna, pemilik boleh memanfaatkan tempoh lima-tahun itu sepenuhnya walaupun kenderaan telah bertukar nama dalam tempoh itu.
Perincian lanjut berkaitan Yaris serba baru ini ada di dalam lampiran maklumat produk, senarai harga serta risalah jualan yang disediakan dalam kit hebahan media.