in

Isu Perbalahan Alibi Music VS Natasha Hudson

Beberapa minggu kebelakangan ini, kecoh juga dengan perang mulut di antara pelakon yang bercita-cita bergelar menjadi penyanyi, Natasha Hudson dengan bekas syarikat rakamannya Alibi Music. Sebelum ini Natasha Hudson telah menyalahkan pihak Allibi Music dengan mendakwa pihak pengurusan tidak profesional dan tidak bersungguh-sungguh dalam mempromosikan dirinya sebagai artis mereka.

Natasha telah menandatangani kontrak bersama Alibi Music pada 10 Disember 2009 selepas diperkenalkan oleh Cat Farish.

Menurut Natasha, situasi itu menyebabkan dia terpaksa membuat keputusan untuk meninggalkan syarikat rakaman itu walaupun kontraknya bersama Alibi Music masih berbaki. Kenyataan yang dibuat oleh Natasha ini sedikit sebanyak telah memberi impak yang kurang baik kepada syarikat yang turut disertai oleh beberapa artis popular seperti Liyana Jasmay, Imran Ajmain dan Ezlynn ini.

Apa tidaknya, ini bukan kali pertama mereka dituduh tidak profesional. Kalau anda masih ingat, Nurul Wahab juga pernah meluahkan kekecewaan terhadap pengurusan Alibi Music apabila kontraknya tidak disambung.

Ekoran dakwaan itu, Ketua Unit Muzik syarikat rakaman Alibi Music, KC Ismail terpanggil untuk membuat kenyataan balas bagi menjawab segala persoalan yang timbul. Dalam kenyataan media yang dihantar melalui emel itu, KC menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Natasha sebelum ini kurang tepat.

Menurut KC, pengunduran Natasha dari syarikat rakaman itu adalah hasil daripada persetujuan kedua-dua belah pihak. Alibi Music tidak pernah membuang mana-mana artis melainkan artis itu sendiri yang memohon untuk mengundurkan diri. Begitu juga dengan segala masalah yang timbul diselesaikan melalui rundingan bersama.

Menjawab dakwaan Natasha yang mengatakan pengurusan Alibi tidak profesional kerana tidak komited dalam mengotakan janji mereka, KC telah menjelaskan perkara ini secara panjang lebar. Berikut adalah penjelasan yang dikirimkan kepada pihak media.

“Setelah menandatangani kontrak pada awal Disember lalu, Tasha mula membuat penampilan pertama sebagai seorang penyanyi pada malam Konsert Alibi Kosmik yang diadakan di Wisma Bentley, Mutiara Damansara pada 15 Januari lalu. Persembahannya pada malam itu telah mendapat kritikan daripada pihak media. Bagi memperbaiki mutu persembahan Tasha dalam bidang nyanyian dari segi vokal, pihak kami telah mencadangkan agar Tasha mengambil kelas vokal bagi memantapkan mutu vokalnya untuk persembahan.

Akan tetapi, kami difahamkan Tasha sibuk dengan jadual pengambaran drama sehingga tidak dapat menumpukan perhatian kepada kelas vokalnya, satu demi satu tawaran drama diterima sehingga menyukarkan dia menghadiri kelas vokal. Masa yang terluang lebih banyak dihabiskan dengan bercuti di luar negara.

Kritikan demi kritikan diterima oleh Tasha mengenai mutu persembahan selepas mengadakan persembahan di No Black Tie pada 6 Mei. Tasha masih tidak menunjukkan apa-apa peningkatan dari segi vokal dan persembahan. Malah dia sering terlupa lirik ketika menyanyikan lagunya, bukan sekali malah beberapa kali.

Dari situ, kami berpendapat dia belum bersedia untuk menjadi seorang penyanyi, banyak yang perlu dipelajari, kami khuatiri setelah ‘single’-nya ke udara di radio, tahap kualiti persembahannya masih lagi sama, kami ingin memastikan dia betul-betul bersedia untuk bergelar penyanyi.

Masih belum reda dengan isu mutu persembahannya itu, Tasha sekali lagi menerima tamparan apabila lagu yang dipilih pihak kami sebagai ‘single’-nya dikatakan diciplak daripada orang lain. Bertindak dalam hal tersebut, kami mencari ‘single’ baru untuk mengantikan lagu tersebut dan hasil persetujuan lagu ciptaan Cat Farish dipilih untuk menggantikan ‘single’ tersebut.

Walaubagaimanapun setelah selesai rakaman dibuat, Cat mendapati Tasha sukar untuk menyanyikan lagu tersebut dengan baik dan memerlukan latihan vokal bagi melancarkan proses rakaman sekaligus pihak kami mengugurkan lagu itu sebagai ‘single’ terbaru Tasha. Ketika itu juga, perbincangan sekali lagi dibuat, kedua belah pihak bersetuju untuk mengambil lagu ciptaan Aqasha sebagai single barunya, lagu ini adalah lagu duet Tasha bersama Aqasha. Sekali lagi Cat sebagai Artis & Repertoire (A&R) Alibi Music diberi tangungjawap untuk memastikan lagu ini siap dirakam sepenuhnya.

Masalah lain pula yang timbul apabila lagu itu gagal disiapkan oleh Cat setelah beberapa minggu diberikan. Dari situ timbulnya isu dimana Tasha telah menyalahkan Alibi Music kerana gagal mengeluarkan sebarang lagu baru untuknya. Tasha menyifatkan kami telah gagal menunaikan janji dan tidak bersungguh-sungguh untuk menghasilkan ‘single’ terbarunya. Segala usaha dan rundingan telah menemui jalan buntu. Akhirnya sebagai jalan penyelesaian, Tasha mengambil keputusan untuk keluar daripada Alibi Music dan pihak kami juga telah bersetuju untuk melepaskannya dengan cara baik.

Akur dengan keputusan Tasha, kami merasakan isu ini telah selesai dengan baiknya, akan tetapi satu demi satu kenyataan Tasha kepada media, kami rasakan adalah kurang tepat dan hanya berpihak kepada sebelah pihak sahaja. Di harap dengan penjelasan ini dapat memberi gambaran jelas tentang isu yang berbangkit ini.”

Apa-apa pun yang berlaku sebelum ini, diharap dijadikan pengajaran buat semua pihak terbabit agar dapat menjernihkan keadaan.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Body Contouring Treatments AsterSpring

Sesi Rakaman Semua Untukmu Anuar Zain Syawal TV3