Hakikatnya kita tidak dapat lari daripada situasi tersebut. Soal jodoh, ajal maut semuanya ketentuan Allah S.W.T. Siapakah kita sebagai hamba mahu mempersoalkannya. Mengangkat kisah sama yang realitinya berlaku dalam kalangan masyarakat kita, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan drama bersiri empat episod bertajuk “Sakit Otak Sis (S.O.S)” mulai 5 Jun, setiap hari, pukul 1.30 petang di TV2.
Bila Nak Kahwin? Tasha Shila Ada Jawapan Dalam Drama Bersiri “Sakit Otak Sis (S.O.S)” Aidilfitri Ini di TV2
Menampilkan gandingan pelakon cantik Tasha Shila, Syafnida Shuhaimi, dan Ziha Salleh, selain turut dibantu oleh Hasnul Rahmat, Fadilah Mansor, Fathil Dani, Ken Ridzuan, Mon Ryanti, Syed Ali dan Sky Kyoji.
Tele arahan Muhamad Ikhsan Sukiman, Unit Drama TV RTM ini berkongsi kisah Farah, Fatin dan Firzana merupakan tiga adik-beradik yang dibesarkan mengikut aturan ibu mereka, Mak Lang. Mak Lang berfikiran konservatif dan sangat percaya bahawa susun aturnya adalah untuk kebaikan bersama anak-anaknya.
Di antara kesemua anaknya, Mak Lang paling risau terhadap Farah kerana masih lagi belum bertemu jodoh. Mak Lang bertegas bahawa konsep ‘langkah bendul’ tidak dibenarkan dalam hidup mereka walaupun Fatin dan Firzana sudah mempunyai kekasih hati.
Farah sudah puas menjelaskan konsep ‘hadiah’ seandainya adik-adiknya kahwin dahulu namun Mak Lang tetap berdegil. Mereka semua akur dengan kehendak Mak Lang, termasuklah Pak Lang yang merupakan suami kepada Mak Lang.
Syawal menjelma dan Farah menjadi tertekan kerana perlu memikirkan alasan untuk menjawab soalan rutin ketika Hari Raya Aidilfitri, ‘Bila nak kahwin?’. Adik-adiknya pula kekal dengan alasan lama, ‘Tunggu kakak kahwin dulu’. Keadaan menjadi rumit apabila kekasih Fatin meluahkan hasratnya untuk melamar Fatin pada hari raya nanti.
Pada hari raya, ketiga beradik itu diasak dengan soalan berkaitan jodoh. Fatin mula resah dan meluahkan perasaan kepada kakaknya, Farah. Fatin memujuk Farah supaya menerima sahaja lamaran yang bakal datang agar adik-adiknya juga dapat berkahwin dengan pasangan masing-masing.
Farah seringkali mengelak jemputan rumah terbuka pada hari raya kerana tidak mahu berada di dalam situasi ‘match-making’ oleh kawan-kawannya. Namun, Farah tidak dapat menolak ajakan Nadia, rakan baiknya.
Tiba di rumah Nadia, Farah bertemu dengan Lokman, dan sudah menjangka bahawa pertemuan mereka adalah rancangan Nadia. Nadia meninggalkan Farah berdua dengan Lokman supaya mereka dapat menjalinkan keserasian.
Dalam kesibukan percaturan percintaan, Farah juga berkenalan dengan Razak, seorang duda yang berusia agak ‘senior’ tetapi berperwatakan ‘gentleman’. Farah kembali ke ‘petshop’ miliknya seperti biasa sehinggalah kemunculan Yazid, bekas kekasih Farah di kedainya sendiri. Farah telah ditinggalkan oleh Yazid dan ia menyebabkan hati Farah tertutup untuk bercinta.
Kemunculan Yazid di ‘petshop’ Farah membuatkan Farah serba salah, namun Yazid meluahkan perasaannya kepada Farah untuk merujuk kembali. Farah menerima cinta Yazid dan nekad untuk menamatkan zaman bujangnya. Walaubagaimanapun, tidak lama selepas itu Farah mengetahui bahawa Yazid sudah berkeluarga. Dalam kekecewaan, Lokman muncul untuk memenangi hati Farah tetapi tidak disangka, kebaikan Razak mengalahkan hasrat cinta Lokman dan menyebabkan Farah beralih arah memilih Razak pula.
Pada penghujung Syawal, Farah berterus-terang kepada keluarga tentang pilihan hatinya. Siapakah antara pemuda-pemuda itu yang berjaya mencuri hati Farah? Ikuti kesudahannya di TV2.