Sarat dengan senireka hebat, hotel ini tampil menyerlah di kawasan pusat perniagaan terbaru Hanoi. Terletak dalam kawasan pusat konvensyen nasional mereka, ia pilihan tepat buat pengembara korporat dan juga mereka yang ingin bersantai.
Penginapan bertaraf lima bintang mereka diperhebatkan lagi dengan teknologi canggih, katil selesa, dan juga aneka pilihan menjamu selera dengan sajian Jepun, Cina, Perancis dan antarabangsa di ketujuh-tujuh restoran mereka.
Tidak ketinggalan adalah kemudahan lain seperti spa mewah, kolam renang dalam bangunan dan juga pusat kesihatan yang buka 24 jam, semuanya di bawah bumbung yang sama!Lebih menarik lagi JW Marriot Hanoi mempunyai sebuah rahsia tersembunyi.
Terletak di tingkat lapan hotel adalah sebuah kompleks kesihatan bernama “Wellbeing on 8” yang direka khas untuk membawa tetamu jauh dari hingar- bingar kota ke satu tempat yang damai dan menenangkan.
Wellbeing on 8 memperkenalkan konsep baru dalam cara menyegarkan badan, serta menenangkan minda dan jiwa. Ia lengkap dengan spa bernama Spa by JW yang menampilkan sembilan bilik rawatan mengikut kehendak dan keperluan tetamu, sebuah pusat kesihatan untuk senaman kardio, serta pelatih yoga dan senaman bagi membantu tamu beriadah.
Ia juga menawarkan sebuah pemandangan indah kota Hanoi daripada sebuah ruang khas di tingkat atas selain sebuah kolam renang yang juga merupakan kolam renang tergantung pertama di Vietnam.
Sebagai sebuah tambahan istimewa, ia juga mempertaruhkan Milk & Co yang menyediakan makanan serta minuman berkhasiat dengan menggunakan variasi susu sebagai ramuan utama.
Tidak ketinggalan kawasan khas kanak-kanak bernama Kid’s Corner, di mana anak-anak kecil boleh bermain dan melakukan pelbagai aktiviti bersama pelatih sementara tetamu lain menikmati waktu di Wellbeing on 8.
Satu lagi tarikan adalah kawasan Dragon’s View, sebuah ruangan khas dengan pemandangan bandaraya Hanoi yang dilengkapi tempat duduk tergantung untuk menenangkan fikiran.
Pastinya, kesemua keunikan ini menjadikan JW Marriot Hanoi sebuah hotel pilihan untuk anda yang bukan sahaja mahukan ketenangan tetapi juga diulit kemewahan terindah.
Oleh Shah Shamshiri