Amyra atau nama sebenarnya, Nur Amira Izzati Rosli, 28, berkata, dia berada dalam keadaan sihat dan tidak pernah menghidap sebarang penyakit kronik seperti dakwaan umum.
Menurut Amyra, keadaan tubuhnya semakin kurus disebabkan oleh kesibukan membahagikan masa antara perniagaan, kerjaya dan keluarga.
“Saya tidak sakit, saya sihat Alhamdulillah. Mungkin kerana kesibukan kerja dan menguruskan keluarga, menjadikan fizikal saya seperti ini.
“Saya harap peminat tidak perlu risau,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Ibu Christy Ng di sini semalam.
Tambah isteri kepada pelakon Amar Baharin itu, dia berasakan bentuk fizikalnya normal dengan berat 42 kilogram (kg).
“Selagi suami tidak tegur, saya rasa okey,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Amyra mendedahkan drama Nur menerima tawaran untuk dipentaskan ke teater.
“Saya perlu membuat penilaian rapi sebelum bersetuju terbabit dalam teater tersebut. Bagaimanapun, projek itu masih diperingkat perbincangan,” katanya. – K! ONLINE