Drama fenomena Nur 2 telah melabuhkan tirainya pada 25 April lalu. Drama lakonan Amyra Rosli, Syafiq Kyle, Azar Azmi, Noorkhiriah, Azhan Rani, Raja Atiq, Eyra Hazali, Datuk Jalaluddin Hassan, Fatimah Abu Bakar dan ramai lagi ini telah meraih 10 juta tontonan terkumpul sepanjang 15 episod bersiaran dan mencatat 3.6 juta tontonan bagi episod terakhir. (sumber Nielsen Audience Measurement)
“Alhamdulillah, sekali lagi Nur 2 juga mencipta fenoma seperti drama Nur terdahulu. Drama Nur 2 ini mendapat memaparkan realiti kehidupan yang benar-benar terjadi masa kini.
Mungkin sesetengah pihak sukar menerima kejahatan yang dipaparkan melalui watak Syed Hamadi, kenaifan Nur dalam bersahabat, lemahnya iman seorang Ustaz Adam dan kebodohan Aishah yang masih setia dengan suami walaupun suaminya itu jahat, ada masyarakat di luar sana yang benar-benar menghadapi situasi sebegini.
Pujian harus diberikan kepada setiap pelakon yang terlibat kerana menjiwai watak mereka dengan sangat baik dan memberi kesan kepada penonton. Kami berterima kasih atas komen dan respon orang ramai yang setia mengikuti drama ini dan akan terus berusaha untuk menghidangkan pelbagai lagi naskhah hebat seperti ini di masa hadapan.”
– Puan Siti Nurlisia Mohd Nadzri, Pengurus Besar Pengurusan Jenama dan Rancangan (TV3 & TV9)
Episod akhir menyaksikan kejahatan Hamadi, watak yang paling dibenci dan mendapat perhatian netizen bagi siri kedua drama Nur ini, berakhir dengan kematian di tangan isterinya sendiri, Aishah.
Boleh dikatakan, watak yang dilabel netizen sebagai penunggang agama lakonan Azhan Rani ini sedikit menenggelamkan watak utamanya, Ustaz Adam lakonan Syafiq Kyle dan juga Nur lakonan Amyra Rosli.
Kejahatan watak antagonis Syed Hamadi mendapat respon pelbagai pihak yang memberi ulasan betapa wataknya itu memberi kesan di hati dan membuka mata tentang wujudnya manusia yang mempergunakan agama demi kepentingan sendiri.
Walaupun dibenci sehingga mendapat ugutan bunuh, ragam Syed Hamadi yang sering menggunakan nyanyian dan lirik lagu popular dalam dialognya turut mencuit hati penonton.
Konflik rumahtangga Ustaz Adam dan Nur juga berakhir apabila komplot jahat Juita dan Hamadi didedahkan jiran mereka, Uchee yang turut bersubahat. Darul Mukhsin juga dapat kembali beroperasi dengan dana yang disalurkan oleh sahabat baik Ayah Haji iaitu Datuk Tajuddin.
Terima kasih buat anda penonton setia drama TV3, teruskan menonton pelbagai lagi drama menarik yang bakal dihidangkan buat anda semua bersempena bulan Ramadan & Syawal ini nanti. #Setulusikhlas.